BREAKING NEWS

Monday, 10 April 2017

UMNO P. Pinang Selar Tindakan Guan Eng Cuba Balas Dendam Terhadap Shabudin Di DUN



NIBONG TEBAL, 10 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekiranya benar beliau bakal membentangkan usul di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Mei ini bagi ‘mengecam’ ucapan perbahasan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Parlimen baru-baru ini.
Jelas beliau, tindakan Guan Eng itu dilihat sebagai satu tindakan ‘membalas dendam’ terhadap Shabudin kerana sakit hati berikutan pendedahan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu di Parlimen tahun lalu mengenai pembelian satu hartanah di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.
Rentetan dari pendedahan tersebut tambahnya, Guang Eng telah didakwa di Mahkamah atas dua pertuduhan rasuah dan kes sedang menanti perbicaraan bermula.
“Banyak penjelasan telahpun dibuat berkaitan kenyataan Shahbudin di Parlimen baru-baru ini. Kenyataan tersebut telah diputar –belit sehingga menyebabkan salah faham.
“Jadi sekiranya benar Guan Eng tetap mahu membawa usul di Sidang Dun terhadap Shahbudin maka UMNO Pulau Pinang melihat ini sebenarnya adalah satu tindakan balas dendam.
“Sehubungan itu UMNO Pulau Pinang telah memutuskan dan meminta Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid, untuk membawa satu usul bagi mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri di Sidang DUN Pulau Pinang yang dijadualkan bermula sidang pada 19hb Mei ini,” ujarnya
UMNO Pulau Pinang tegasnya sekali lagi mengulangi desakan terhadap Guan Eng untuk bercuti atau melepaskan jawatan Ketua Menteri yang disandang beliau sehinggalah perbicaraan kes rasuah beliau di mahkamah selesai.
“Kedegilan atau keengganan Guan Eng melepaskan jawatan atau bercuti mencemar kewibawaan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bila mana dia dituduh melakukan rasuah.
“Saksi-saksi kes terutamanya pegawai-pegawai kerajaan akan serba salah dan rasa tertekan sekiranya mereka dipanggil untuk memberi keterangan terhadap seorang Ketua Menteri yang masih atau sedang memegang jawatan.
“Jadual perbicaraan kes yang panjang juga akan mengganggu pelaksanaan tugas harian Ketua Menteri dan berkemungkinan merencat perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri,” ulasnya lagi.


 
Copyright © 2014 PenangKini.