BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

3 tokoh Umno terima Anugerah Melayu Terbilang 2017

Anggota Lembaga Rayuan dan Disiplin Umno Tan Sri Hanafiah Hussain antara 3 tokoh yang dikurniakan Anugerah Melayu Terbilang 2017 sebagai penghargaan terhadap jasa mereka dalam perjuangan parti dan bangsa Melayu secara keseluruhan.
Dua lagi ialah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar dan Setiausaha Umno Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yusoff Abdul Latiff.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyampaikan anugerah tersebut pada sambutan ulang tahun ke-71 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Dalam rakaman video yang ditayangkan sebelum menerima anugerah berkenaan, Hanafiah, 90, bekas anggota Parlimen Jerai dan orang Melayu pertama diiktiraf sebagai Akauntan Berkanun, mengucapkan terima kasih kepada Umno kerana mengiktiraf sumbangannya.

Anggota Kongres Ekonomi Bumiputera dan merupakan individu terpenting dalam pengwujudan hubungan bilateral Malaysia-Taiwan itu turut mengajak generasi muda bangsa Melayu turut sama memberi sumbangan kepada negara kerana menurutnya, ia bukan satu perkara merugikan.
Sementara itu Napsiah, 74, yang pernah menjawat jawatan Menteri Perusahaan Awam, menarik perhatian sesebuah parti tidak akan ada makna tanpa anggotanya.
“Umno dengan lambangnya memang tidak ada nyawa, kita anggota yang tiup dan beri kekuatan,” kata bekas anggota Parlimen Kuala Pilah itu.
Bagi Mohd Yusoff, 87, yang merupakan penggerak utama Persatuan Melayu Pulau Pinang, Umno adalah wadah kepada bangsa Melayu dan merupakan badan yang memerdekakan Tanah Melayu.
“Ia wajar didukungi kerana tidak ada Umno, tidak adalah Malaysia,” katanya yang menyertai Umno sejak tahun 1947 dan masih aktif mencurahkan baktinya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.