BREAKING NEWS

Saturday, 20 May 2017

85,467 E-Kad Pati dikeluarkan sejak 15 Februari

 Jabatan Imigresen telah mengeluarkan 85,467 E-Kad dan mendaftar seramai 93,473 pendatang asing tanpa izin (Pati) sejak program yang membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula Pati dibuka pada 15  Februari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata ia membabitkan 14,541 majikan yang mendaftar permohonan E-Kad, dokumen yang berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah.

"Namun kita dapati masih ramai majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka yang berstatus Pati  dan menunggu sehingga saat akhir untuk melakukannya.

"Ingin ditegaskan sepanjang tempoh pendaftaran E-Kad sehingga tarikh akhir 30 Jun depan, Jabatan Imigresen tetap melakukan operasi penguatkuasaan dan majikan yang berdegil bakal dikenakan tindakan yang tegas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jabatan itu telah mengadakan 5,944 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dari awal Januari hingga 18 Mei lepas, yang menyaksikan seramai 63,421 warga asing diperiksa dengan 18,176 Pati dari pelbagai negara ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Mustafar berkata dalam tempoh itu juga, seramai 499 majikan ditahan kerana kesalahan menggaji, melindungi, bersubahat serta membenarkan Pati tinggal di premis, manakala sejumlah 20,070 Pati pula telah diusir.

Daripada jumlah yang ditahan, 430 daripadanya adalah majikan warga tempatan dan selebihnya majikan dari Indonesia (19), Thailand (12), Bangladesh (11), Pakistan (10) , India (tujuh) dan selebihnya lain-lain warganegara, katanya.

Beliau berkata majikan berkenaan boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 selain berdepan tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM).

E-Kad menyasarkan untuk mendaftar kira-kira 600,000 Pati yang dipercayai berada di negara ketika ini dan permohonannya hanya boleh dibuat di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya serta cawangannya secara percuma. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.