BREAKING NEWS

Wednesday, 24 May 2017

Apa Sudah Jadi dengan 51 Projek dicadangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang




PULAU PINANG 23 Mei – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempersoalkan status sekurang-kurangnya 51 buah projek yang dicadangkan kerajaan DAP Pulau Pinang di beberapa kawasan ne­geri ini untuk manfaat rakyat gagal dilaksanakan sejak 2008 sehingga tahun lalu.

Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, sehingga kini projek berkenaan disifatkan gagal dan kerajaan ne­geri perlu menjelaskan pengurusan perbelanjaan yang dikatakan melibatkan kos berbilion ringgit.

Jelasnya, antara yang dianggap gagal ialah projek Aerobus yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Prai pada 2008 melibatkan pemaju dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa dimasukkan dalam rancangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Banyak lagi projek yang dikatakan dirancang sejak 2008 termasuklah kereta api bawah tanah, sistem monorel merentasi pulau dan tanah besar dan pembinaan tasik buaya.

“Pada 2009 pula, kerajaan DAP Pulau Pinang dikatakan akan membanteras tempat letak kereta haram, mengekalkan surcaj air serta mewartakan kawasan perlindungan hutan Pulau Jerejak tetapi ketiga-tiga projek berkenaan masih gagal,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Muhamad Farid, ke­rajaan DAP Pulau Pinang pada 2010 turut menyatakan akan mempertahankan kebebasan media dengan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­laksanakan akta kebebasan maklumat tetapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri melanggarnya.

“Cakap kosong kerajaan negeri pada 2012 untuk mewartakan rancangan kawasan khas taman botani, pelaburan Blackberry, The Light Penang Waterfront Convention Center dan pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik Bandar Cassia juga didakwa gagal,” jelasnya.

Katanya, janji kosong itu juga berlarutan selama empat tahun sejak 2013 apabila kerajaan negeri menjanjikan pembinaan pelbagai taman rekreasi di beberapa kawasan yang masih tidak berjaya dilihat sehingga kini.

“Perancangan itu termasuklah usaha mewartakan rancangan kawasan khas Bukit Bendera, pembinaan sistem transit ringan (LRT), pasar malam di Chow Rasta, rancangan struktur Pulau Pinang dan kesesakan lalu lintas,” jelasnya. -UO
 
Copyright © 2014 PenangKini.