BREAKING NEWS

Tuesday, 23 May 2017

Baiki rumah usang di tapak warisan

GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang disaran membaiki rumah usang di bandar raya George Town yang merupakan kawasan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, terdapat banyak rumah usang yang terbiar dan ada antaranya diambil oleh pemaju dan dirobohkan.

"Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membaik pulih rumah tinggalan lampau yang masih ada untuk tarikan pelancong," katanya pada sesi soal jawab sidang undangan negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri mewujudkan perkampungan warisan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir  negeri Chow Kon Yeow berkata terdapat kekangan untuk memperbaiki rumah usang di bandar raya ini berikutan syarat ketat Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Memang setelah beberapa tahun bandar raya Georgetown diisytihar sebagai tapak warisan dunia, terdapat banyak kemajuan. Ada rumah-rumah usang ini yang telah dibaik pulih oleh tuan tanah," katanya.
Kon Yeow berkata, berdasarkan rekod MBPP, sehingga April tahun ini terdapat 64 rumah usang di kawasan Komtar. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.