BREAKING NEWS

Thursday, 25 May 2017

Bertaubat dan kembali ke tikar sejadah, pesan Nik Abduh kepada Dr M


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bertaubat dan berhenti menyerang parti Islam itu serta bapanya dengan mengaitkan isu “Tuhan mencarut”.
Bekas ketua Pemuda PAS itu berkata, tindakan bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu menyelar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sudah meninggal dunia menggambarkan kecelaruannya dengan hambatan sejarah silam yang menghantuinya.
“Ketika beliau berjaya mengalahkan semua musuh politiknya, beliau tidak pernah menang melawan perjuangan politik tuan guru. Dendamnya belum berakhir.
“Dendam dan bencinya kepada PAS adalah berterusan. Beliau gembira PAS pecah, tetapi beliau malu melihat bagaimana bekas pemimpin PAS yang menyokongnya hari ini amat lemah dan gagal melemahkan PAS sedikit pun.
“Saya kekal menyerunya bertaubat dan kembali ke tikar sejadah. Itulah yang terbaik untuk beliau di hujung hayatnya. Tak payahlah buat kerja ‘lu langsi lu mati’ yang berulang-ulang sejak muda sampai tua,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk serangan terbaharu Dr Mahathir ke atas PAS dan Nik Aziz dengan mengulangi kata-kata bekas menteri besar Kelantan itu mengenai isu “Tuhan mencarut” yang pernah mencetuskan kontroversi sejak 1999.
Nik Abduh turut menyindir Dr Mahathir tidak mempunyai pendirian tetap dan suka bermusuhan dengan orang lain. Beliau menyenaraikan beberapa tindakan negarawan itu memecar pemimpin tidak digemarinya.
“Angkat Musa Hitam, pecat Musa Hitam. Angkat Ghafar Baba, pecat Ghafar Baba. Angkat Anwar, pecat Anwar. Angkat Pak Lah, pecat Pak Lah. Angkat Najib, ni nak pecat Najib pulak. Saya nasihatkan dia jangan pula angkat Mukhriz nanti. Nanti Mukhriz pun dipecatnya,” kata anak ke-5 Nik Aziz itu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, rakyat Malaysia boleh menghormati Dr Mahathir sebagai negarawan, tetapi perlu menolak perjuangan politiknya ketika ini.
“Untuk rakyat Malaysia pun, saya nak nasihat baik-baik. Hormati Tun Mahathir. Dia negarawan. Tapi untuk masa depan negara yang lebih sejahtera, biarkan dia berehat menuju Allah. Generasi baru perlu memilih Islam sebagai panduan hidup. Mari menuju sebuah negara sejahtera dengan Islam,” sindirnya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.