BREAKING NEWS

Wednesday, 3 May 2017

Daftar sekolah tahfiz akan ikut terma dan rujukan kementerian, Jakim

Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berbincang berhubung terma dan rujukan untuk proses pendaftaran sekolah tahfiz agar dapat diletakkan di bawah satu institusi.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam.

“Terma dan rujukan terbabit adalah dari segi penyediaan insfrastruktur, kokurikulum dan guru,” katanya pada sidang akhbar selepas Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan hari ini.

Mahdzir sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jamil Khir bagi membincangkan mengenai pendaftaran sekolah agama tahfiz swasta dan persendirian di seluruh negara ekoran kematian seorang pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, minggu lepas.

Beliau berkata pegawai Kementerian Pendidikan dan Jakim akan berbincang perkara tersebut dalam masa terdekat sebelum pihak terlibat melaksanakan proses pendaftaran sekolah tahfiz.
“Apabila sekolah tahfiz ini berdaftar, mereka harus memenuhi syarat dan keperluan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan Jakim dan jika mereka melanggar syarat ditetapkan, lesen mereka akan dibatalkan,” katanya.

Buat masa ini, Mahdzir berkata kebanyakan sekolah tahfiz diletakkan di bawah kelolaan Majlis Islam Negeri masing-masing dengan sebahagiannya mengikuti silibus pembelajaran yang disediakan Kementerian Pendidikan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.