BREAKING NEWS

Wednesday, 17 May 2017

DAP mesti jawab buku ‘agenda Kristian’


Pusat Penyelidikan PAS mahu DAP memberi reaksinya berhubung sebuah buku hasil tulisan Iain Buchanan, seorang ahli akademik dari New Zealand bertajuk ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia’.
Pengarah pusat itu, Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa bahawa buku Buchanan, yang diterbitkan pada tahun 2015, menyebut dengan jelas tentang pembabitan pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh.
“Sebagai contohnya pada mukasurat 26 hingga mukasurat 34, di bawah tajuk kecil ‘Dominionism: Lesson from Penang’, penulis menyebut tentang kaitan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP.

“Nama Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh turut disebut di bawah tajuk kecil ini. Pusat Penyelidikan PAS melihat pendedahan buku ini yang memalitkan DAP khususnya dengan gerakan ‘dominionism’ adalah perkara yang lebih utama untuk mereka jawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengenalan buku Buchanan, berdasarkan semakan dalam talian, menyatakan antara lain bahawa terdapat beberapa negara di dunia di mana corak etnik dan agama yang begitu kompleks seperti di Malaysia.
Zuhdi membangkitkan isu berkenaan ketika Yeoh, yang juga adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, membuat laporan polis terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Yusoff kerana mendakwanya mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.
Artikel Kamarul itu adalah berdasarkan buku Yeoh bertajuk 'Becoming Hannah’ di mana ADUN itu mengaku penglibatannya dalam politik dibantu pihak Kristian.
Mengulas perkara itu, Zuhdi berkata Pusat Penyelidikan PAS mengalu-alukan pendedahan Kamarul, tetapi mendakwa bahawa DAP tidak kelihatan berminat untuk membersihkan namanya berhubung dengan tuduhan yang dibuat.
Beliau berkata, pemimpin DAP mengambil sikap lepas tangan dalam perkara itu, dan meletakkan beban untuk menjawab hanya kepada Yeoh sahaja.
“Ini menunjukkan DAP bimbang isu ini akan meletup.
“Tuduhan berkaitan hubungan DAP dan gerakan Kristianisasi ini bukan sahaja akan menyebabkan masyarakat Islam semakin menyedari tentang siapa sebenar DAP, bahkan masyarakat Tionghua juga yang majoritinya beragama Buddha juga akan turut sedar.
“Sekiranya tuduhan ini benar, DAP akan kehilangan undi yang lebih besar dari kalangan pengundi-pengundi Islam, malah berkemungkinan juga akan kehilangan undi dari pengundi-pengundi masyarakat Tionghua,” katanya. Malaysiakini
 
Copyright © 2014 PenangKini.