BREAKING NEWS

Monday, 22 May 2017

DUN P.Pinang kecoh, penjelasan usul Guan Eng bercuti

22 MEI: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada pagi tadi menjadi tegang apabila pembangkang negeri itu membantah penjelasan Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang menolak usul menuntut Ketua Menteri, Lim Guan Eng bercuti sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya selesai.
Ketegangan tercetus apabila, ADUN Pulau Betong daripada Barisan Nasional (BN) mendakwa jawapan bertulis Choo Kiang membabitkan penolakan usul berkenaan, tidak dinyatakan dengan jelas.
Terdahulu, Choo Kiang berkata usul berkenaan ditolak kerana perkara itu  itu sudah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kerajaan Negeri termasuk kes membabitkan prosiding mahkamah, disabit kesalahan atau dalam tempoh rayuan.
“Semua perkara termasuk isu kehilangan kelayakan disebut dalam peraturan berkenaan. Jadi ia sudah jelas dan ahli dewan sepatutnya tidak bahas usul yang jelas sudah ada jawapan.
“Saya tidak mahu timbul anggapan bahawa dewan ini buat ketetapan yang membawa ketidakadilan kepada penjawat awam, melainkan pegawai berkenaan membuat keputusan dan atas budi bicaranya sendiri,” katanya ketika menerangkan penolakan usul berkenaan dalam mesyuarat DUN.
Bagaimanapun, Farid berhujah usul berkenaan tidak meminta Guan Eng meletak jawatan atau hilang kelayakan, sebaliknya meminta Ketua Menteri bercuti sementara menunggu siasatan kes berkenaan selesai.
“Bagaimanapun, speaker tidak jawab dan hanya jawab enam baris dalam jawapan bertulis dan itu pun tidak jelas. Tidak timbul isu ketidakadilan dan sebab itu penting usul ini dibahaskan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dilaporkan kecewa apabila tiga usul BN ditolak, termasuk usul membabitkan Guan Eng.
 
Copyright © 2014 PenangKini.