BREAKING NEWS

Friday, 5 May 2017

Guan Eng, Dap Jangan Angkuh… Rakyat Boleh Pilih Dan Jatuhkan Mereka Dalam Pilihan Raya


BUKIT BENDERA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim menempelak kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi punca peningkatan pengundi di tiga kerusi majoriti Melayu, iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, Sungai Bakap dan Penanti.
Jelas beliau, seharusnya Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu menyalahkan diri sendiri kerana peningkatan pengundi tersebut membuktikan Guan Eng gagal sebagai ketua menteri.
“Mengapa mahu menyalahkan SPR yang kononnya gagal menjalankan persempadanan semula di negeri itu menjadi punca tiga kerusi Dun tersebut berada dalam bahaya.
“Sepatutnya dia salahkan diri sendiri kerana sikapnya yang pilih kaum, dan ego menyebabkan rakyat khususnya orang Melayu di negeri ini hilang kepercayaan kepada Dap.
“Sebab itu, dari dulu saya pernah berkata, Dap jangan sombong kerana sebagaimana rakyat pernah menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, begitu juga rakyat boleh lakukan perkara yang sama terhadap Dap,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Rafizal, Dap seharusnya mencermin diri sendiri sebelum menuding kesalahan kepada orang lain.
“Janji mereka yang sekadar menanam tebu di tepi bibir… ibarat kencing merata tempat menyebabkan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada mereka malah sepanjang pemerintahan Dap, tidak ada kebaikan yang dibawa kepada rakyat selain sibuk mencari keuntungan untuk kantung sendiri.
“Keperluan rakyat diabaikan… hidup rakyat dibebankan dengan pelbagai kenaikan… jadi rakyat mula sedar bahawa ubah yang mereka lakukan pada PRU-12 dan PRU-13 adalah satu kesilapan,” katanya lagi.
Guan Eng baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiga kerusi majoriti Melayu yang kini dipegang oleh PKR di Pulau Pinang dan sangat ‘diminati’ UMNO menyaksikan peningkatan terbesar dalam pengundi baru dan kegagalan SPR melakukan persempadanan semula adalah sebagai punca perkara ini terjadi
 
Copyright © 2014 PenangKini.