BREAKING NEWS

Tuesday, 23 May 2017

Isu ‘Money Game’: ADUN DAP tak puas hati

23 MEI: Wakil rakyat DAP melahirkan rasa tidak puas hati diatas kegagalan Ketua Menteri Pulau Pinang tampil memberikan penjelasan berhubung isu syarikat pelaburan berasaskan perdagangan mata wang di negeri itu.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri DUN) hari ini, ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu mempersoalkan mengapa isu itu dijawab oleh Pengerusi Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Danny Law Heng Kiang sedangkan isu berkenaan seharusnya dijawab oleh EXCO yang bertanggungjawab dalam ekonomi iaitu Lim Guan Eng.
“Isu ‘money game’ ini seharusnya terlibat dengan kewangan, ekonomi dan sosial, tetapi dijawab oleh EXCO pelancongan.
“Jelaslah saya kata maklum balas tak akan diberi dengan jelas kalau melalui platform yang tidak betul. Saya harap juga isu ini boleh dijawab kerana kita nak tahu demi kepentingan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Speaker Datuk Law Choo Kiang berkata mengikut peraturan DUN Pulau Pinang, EXCO berkenaan boleh menjawab soalan di luar bidang kuasanya selepas mendapat kebenaran ketua menteri.
Isu pelaburan perdagangan mata wang asing membabitkan skim JJ Poor To Rich (JJPTR) mendapat perhatian meluas selepas kira-kira 400,000 mangsa termasuk 100,000 warga asing dikesan terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan itu yang mengaut keuntungan mencecah RM1.7 bilion.
Pada 12 Mei lalu, satu serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bersama pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security Malaysia di lapan lokasi sekitar Pulau Pinang.
Seramai 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan empat pelabur berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun turut ditahan.
Yee Cheu dalam soalannya berkata terdapat sebanyak 302 syarikat yang disenarai hitam berikutan terbabit dalam perdagangan pelaburan itu dan beliau meminta kerajaan negeri menyenaraikan tindakan yang akan diambil.
Menjawab soalan itu, Heng Kiang berkata ianya  di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat dan beliau menasihati mana-mana pihak yang mengetahui mengenai aktiviti itu supaya membuat laporan polis.


 
Copyright © 2014 PenangKini.