BREAKING NEWS

Monday, 1 May 2017

Jelajah Pendidikan Bumiputera bukan agenda pilihan raya


BAGAN DATUK 30 April - Program Jelajah Pendidikan Bumiputera yang memberikan peluang kedua untuk meneruskan pengajian di peringkat pendidikan tinggi khususnya bagi pelajar kurang berkemampuan, bukan agenda pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda pendidikan yang telah direncanakan oleh kerajaan tidak bermusim dan menggesa semua penerima tawaran dalam program jelajah tersebut membuktikan kecemerlangan dalam akademik.


Beliau berkata, kejayaan siri jelajah tersebut juga diharap akan menjadi pemangkin kepada perencanaan program Transformasi Nasional (TN50) yang menyasarkan sekurang-kurangya 50 peratus daripada rakyat memiliki diploma dan ijazah.



“Kita bukan kelawar. Musim buah, ada buah, tiada buah, kita tetap datang turun memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini hari ini.


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk program berkenaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.


Program jelajah tersebut yang berlangsung di 44 lokasi terpilih seluruh negara sejak 11 Mac lalu, telah mengeluarkan sebanyak 60,000 surat tawaran pengajian kepada pelajar mengikut kelayakan ditetapkan selain bertemu dengan kira-kira 238,000 masyarakat setempat. - UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.