BREAKING NEWS

Saturday, 13 May 2017

Kecelaruan pembangkang beri BN peluang tinggi menang PRU14 - Bung Moktar

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin berpendapat kecelaruan di kalangan parti pembangkang memberi peluang tinggi kepada BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini kerana, katanya, kepercayaan antara parti komponen BN menunjukkan parti itu lebih diyakini rakyat berbanding parti pembangkang.
“Sebab itu dari awal kita menyatakan BN merupakan satu pakatan yang percaya antara satu sama lain.
“Sebab itu kita kekal sampai berpuluh-puluh tahun. Jadi, rakyat perlu melihat lebih rasional untuk beri kepercayaan dan pengundi perlu bijaksana, parti mana yang diberi keyakinan,”

Beliau mengulas keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada Khamis lalu yang secara rasmi memutuskan hubungan dengan PKR, ekoran usul diluluskan perwakilan Muktamar PAS ke-63 di Kedah, pada 30 April lalu. Mereka menyenaraikan 3 pelanggaran dilakukan parti reformasi itu.

“Antara pelanggaran tersebut ialah tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355,” kata Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh Zawawi, merujuk rang undang-undang persendirian dibawakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“PKR juga dilihat bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan. Malah, menentang PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”
Bung Moktar berkata, Umno mempunyai kekuatan sendiri dan tidak perlu bergantung kepada perpecahan parti pembangkang untuk memenangi PRU14.

“Umno ada kekuatan sendiri. Bagaimanapun ia merupakan satu berita sedih (untuk) kedua-dua pihak. Ini menunjukkan pembangkang tidak sehaluan dari awal sehingga timbul kecelaruan dan tidak percaya satu sama lain.

“Kita beri peluang 5 tahun sekali untuk rakyat menilai prestasi kita. Jadi, kita dapati Umno/BN dapat menang dalam PRU akan datang,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.