BREAKING NEWS

Wednesday, 17 May 2017

Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik

Keadaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, semakin bertambah baik selepas berlalu  tempoh kritikal 24 jam pertama menjalani pembedahan menggantikan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN).

Abdul Hadi melalui Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar turut menyampaikan salamnya kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.
“Alahamdulillah kesihatan Tuan Guru semakin bertambah baik selepas berlalu tempoh 24 jam pertama tempoh kritikal selepas pembedahan dijalankan.

“Antara perkara pertama yang disebut oleh Tuan Guru kepada saya malam tadi, setelah mula bersuara ialah supaya menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.
“Pagi ini, Tuan Guru juga nampak keceriaannya dan sudah mula menjamah makanan lembut,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Disamping itu, beliau juga memaklumkan pihak keluarga dan kepimpinan Pas juga mengajak ahli dan penyokongnya untuk terus berdoa ke hadrat ALLAH agar proses pemulihan kesihatan Abdul Hadi berjalan lancar dan terbaik.

“Sebagaimana yang disebutkan dalam kenyataan media IJN semalam, lawatan pada peringkat ini hanyalah terhad untuk keluarga terdekat sahaja sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.