TELOK AIR TAWAR - Dari jauh, Kompleks Pasar Awam Bayu Aman, di sini nampak gah dan indah, namun hanya indah khabar dari rupa.
Mana tidaknya, bangunan yang sepatutnya menjadi punca rezeki kepada puluhan peniaga itu kini terbiar kosong tidak berpenghuni.
Kompleks itu difahamkan siap sejak beberapa tahun lalu dan mula dibuka apabila ada peniaga tetapi tidak dapat bertahan lama ekoran sambutan kurang memberangsangkan.
Keadaan ini mengakibatkan penduduk terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan barangan basah seperti ikan, sayur dan daging sehingga ke Kepala Batas serta Bagan Ajam.

Banyak kemudahan dirosakkan

Penduduk, Othman Hashin, 66, berkata, penduduk kecewa dengan keadaan bangunan tersebut.
"Menyedihkan. Bangunan ini langsung tak diselenggarakan, banyak kemudahan sedia ada dirosakkan.
"Banyak lampu pecah, paip dicuri, wayar-wayar banyak putus. Kita juga takut individu tak bertanggungjawab salah guna tempat ini sebab nampak terbiar dan tak terurus," katanya.
Menurutnya, sepatutnya kompleks ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan menempatkan pasar untuk penduduk sekitar datang membeli-belah.
“Nak pergi pasar yang sedia ada pun jauh, sampai ke Bagan, kadang-kadang sampai ke Kepala Batas.
"Tempat ada tapi terbiar, memang tak patut. Kalau buka ramai dapat manfaat, orang luar pun boleh datang sini," katanya.
Ruangan untuk peniaga yang terdapat dalam Kompleks Pasar Awam Bayu Aman ini hanya dibiarkan begitu saja.
Penduduk, Kartina Abdul Rahim, 47, berkata, satu pembaziran memandangkan pasar ada tetapi tidak dibuka, malah dibiarkan begitu sahaja.
"Sebagai suri rumah, nak pergi beli barang basah terpaksa ke Penaga, Kepala Batas. Kadang ke Bagan Ajam, sedangkan di sini ada pasar," katanya.
Tinjauan yang dijalankan mendapati pelbagai kemudahan di dalam kompleks ini dirosakkan.
Selain itu, terdapat beberapa barangan lusuh yang ada di dalam kompleks ini yang mana dipercayai ianya dijadikan tempat tidur gelandangan.
Terdapat juga beberapa tiang telah diconteng dengan kata-kata kurang menyenangkan memburukkan pemandangan dalam kompleks ini.

Melarat jika dibiarkan

Aktivis Masyarakat, Noor Hasni Saad berkata, sekiranya kompleks ini dibiarkan ia pasti akan menjadi lebih teruk lagi.
"Kemudahan di sini banyak dah rosak. Hilang mungkin dicuri, yang tinggal pun macam kipas.
"Takut kalau makin dibiarkan, makin melarat. Pasar ada tapi terpaksa pergi jauh untuk beli barang," katanya.
Perbuatan vandalisme dengan contengan kata-kata kurang menyenangkan mencacatkan pemandangan kompleks ini.
Turut sama meninjau, Penyelaras Kadun Telok Air Tawar Mustafa Kamal Ahmad.
Mustafa berkata, Kompleks Pasar Awam Bayu Aman ini pada mulanya pernah beroperasi sejak siap dibina namun tidak kekal lama.
“Saya dah masukkan dalam mesyuarat bersama pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengenai perkara ini dan difahamkan langkah penswastaan akan diambil untuk menempatkan peniaga di sini,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN