BREAKING NEWS

Monday, 15 May 2017

Komtar semakin sepi Parti Gerakan kesal dengan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang


PULAU PINANG 14 Mei - Parti Gerakan negeri melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat seolah-olah menganaktirikan pembangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Naib Presidennya, Oh Tong Keong berkata, Komtar ketika ini seolah-olah menjadi bangunan ‘sepi dan mati’ selepas tidak lagi dikunjungi orang ramai kerana dipinggirkan kerajaan negeri.

Menurut beliau, keadaan itu semakin dirasai selepas satu persatu peniaga di bangunan Komtar tersebut bertindak menutup perniagaan mereka yang tidak mendapat sambutan kerana tidak dikunjungi orang ramai.


“Keadaan ini berlaku kerana tidak ada daya penarik dilakukan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mempertahankan Komtar sedangkan bangunan itu merupakan mercu tanda dan ikon negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, apa yang dikesalkan kerajaan negeri lebih berminat membangunkan kawasan sekeliling Komtar antaranya mem­promosikan secara besar-besaran lokasi pelancongan The Top yang terletak bersebelahan Komtar.

Sedangkan, kata beliau, lokasi pelancongan itu tidak dapat dimanfaatkan penduduk negeri ini malah turut dianggap membebankan dalam kalangan pelancong kerana caj masuknya yang terlalu tinggi sehingga mencecah lebih RM80 seorang.

“Sebab itu langkah kerajaan negeri tersebut tidak membantu menghidupkan semula Komtar kerana hari ini bangunan ini semakin dilupakan orang ramai.

“Mereka seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk menarik lebih ramai orang berniaga di Komtar, bukan sekadar mengadakan destinasi pelancongan yang baharu tetapi lot kedai di dalam bangunan dibiarkan kosong,” katanya.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.