BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

Laungan Hidup UMNO! gegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil


Seperti dijangka, Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bergema dengan laungan ‘Hidup UMNO’ dan dibanjiri ‘lautan merah’ bersempena dengan sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71.

Dengan jumlah kehadiran kira-kira 150,000 ahli, tidak dapat dinafikan sambutan ulang tahun UMNO kali ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan dalam sejarah parti itu.

Selain Ekspo Pemuda UMNO dan Karnival Wow yang telah bermula sejak semalam dan berjaya menarik kehadiran orang ramai, sambutan ulang tahun parti keramat itu turut diisi dengan pelbagai program lain.


Sambutan itu bermula dengan ceramah agama bersempena Nisfu Syaaban yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Datuk Badlishah Alauddin.

Seperti sambutan sebelum ini, solat maghrib disempurnakan secara berjemaah dan tahun ini diimamkan sendiri oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketibaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira pukul 8.40 malam di­sambut oleh Ahmad Zahid serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan ahli-ahli parti yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Bekas Presiden parti, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut hadir pada malam ini.

Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Pre­siden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas dan pemim­pin komponen dari Sabah dan Sarawak turut hadir dalam sam­butan raksasa itu.

Gimik perasmian sambutan pada tahun ini menyaksikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang diiringi naibnya, Khairul Azwan Harun dan 2,000 sukarelawan berlari masuk ke dalam Stadium Nasio­nal Bukit Jalil membawa bersama bendera Sang Saka Bangsa yang telah ‘mengelilingi’ seluruh negara sejak bulan lalu.

Kemuncak sambutan ialah ucapan perasmian oleh Presiden parti yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh setiap ahli parti dan disiarkan secara langsung di televisyen.

Dalam ucapan beliau, Najib yang juga Perdana Menteri menegaskan, berdasarkan sambutan ditonjolkan di Stadium Nasional pada malam ini, jelas menunjukkan bahawa UMNO merupakan parti terkuat di negara ini.

Selepas ucapan perasmian oleh Najib, acara diteruskan pula dengan simbolik pelancaran pembangunan ibu pejabat baharu UMNO iaitu menara setinggi 70 tingkat, KL Putra.

Seperti sambutan-sambutan terdahulu, ulang tahun UMNO kali ini turut menzahirkan penghargaan kepada pejuang-pejuang yang telah banyak berkorban dan berjasa demi kelangsungan parti.

Bersempena dengan sambutan ke-71, UMNO memberi penghargaan kepada bekas Bendahari UMNO, Tan Sri Hanafiah Hussain; Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yusoff Latiff dan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar sebagai penerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang.

Sambutan ulang tahun itu dilengkapkan pula dengan upa­cara memotong pulut kuning yang sangat sinonim dengan budaya orang Melayu.

Majlis diakhiri dengan penyam­paian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71.UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.