BREAKING NEWS

Monday, 8 May 2017

Mangsa renjatan elektrik selamat dikebumi

GEORGETOWN: Jenazah penuntut Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang maut selepas terkena renjatan elektrik malam tadi, selamat dikebumikan pada jam 11.15 pagi tadi. Jenazah Siti Nur Manisya Muhammad Azmi Prem Kumar 19, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, dengan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga serta rakan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sejurus bapa kandungnya, Muhammad Azmi Prem Kumar Abdullah, 53, tiba dari Langkawi, Kedah, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. 

Muhammad Azmi yang terkilan kerana tidak sempat menatap wajah anak keduanya itu terpaksa dipapah ahli keluarga kerana terlalu sedih dengan pemergian Siti Nur Manisya. 

Sementara itu, ibunya, Norsiah Shaari, 52, berkata, sebelum kejadian dia sempat menikmati makanan di kafeteria kolej matrikulasi berkenaan bersama anak keduanya itu.

 "Kira-kira dua jam selepas itu, saya dikejutkan dengan berita Siti Nur Manisya terkena renjatan elektrik di bilik asramanya dan berada di Hospital Kepala Batas (HKB).

 "Sekarang dia sedang dalam minggu peperiksaan dan hanya mempunyai dua hari lagi untuk tamat pengajian," katanya. 

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, Siti Nur Manisya ditemui maut dalam keadaan terbaring dengan kesan melecur pada tangan dan anggota badannya. Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik.-Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.