BREAKING NEWS

Wednesday, 31 May 2017

Najib seru Umat Islam tolak ekstrem

Umat Islamperlu menolak segala fahaman eks­trem yang membawa kepada kerosakan seperti memusuhi antara satu sama lain atau mengambil nyawa sendiri atas nama Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kejadian pengeboman di Manchester, England dan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan di Marawi, Mindanao yang melibatkan rakyat Malaysia baru-baru ini, beliau menyorot antara tonggak Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa sendiri dan orang lain.

“Jangan kita lupa, salah satu daripada lima perkara Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa, bukan untuk kita membunuh diri kita atau membunuh orang lain.


“Nyawa itu bukan milik kita tetapi milik Allah S.W.T sahaja yang menentukan hendak mencabut nyawa kita atau memanjangkan nyawa kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama para ulama, umarak dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasminya Seri Perdana di sini malam ini.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut menekankan betapa pentingnya umat Islam untuk bersatu padu dalam memartabatkan Islam dan menjamin masa depan ummah.

Katanya, penyatuan merupakan asas untuk mencapai segala impian dan cita-cita murni yang mulia kerana agenda memartabatkan Islam tidak mampu dipikul oleh kerajaan sahaja.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat maghrib berjemaah dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama 1,500 jemputan termasuk golongan asnaf dan anak yatim.

Selesai iftar, Najib dan para tetamu menunaikan solat isyak disusuli solat sunat tarawih. Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz Al-Quran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) berjumlah RM803,205 kepada 319 huffaz Wilayah Persekutuan. – BERNAMA



 
Copyright © 2014 PenangKini.