BREAKING NEWS

Tuesday, 9 May 2017

NGO anak Felda ‘syok sendiri’ mahu banteras rasuah - TS Shahril Samad

Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan kerjasama Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Pusat Reformasi Hisbah (Hisbah) untuk membanteras rasuah dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai “syok sendiri”.

Beliau tidak percaya inisiatif 2 badan bukan kerajaan itu lebih berkesan daripada kerjasama sedia ada antara Felda dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tindakan 2 NGO itu hanya seronok dan syok sendiri. Mereka lebih kepada mahu menarik media untuk melaporkannya, dan media pun telah melaporkan,” katanya kepada FMT di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini.

“Felda telah lebih awal mewujudkan cara dalam menangani rasuah. Adakah dengan kerjasama 2 NGO itu lebih baik daripada cara kita?” tambahnya, yang juga pengerusi Felda.
Shahrir diminta mengulas mengenai perjanjian persefahaman yang ditandatangani Pengerusi Anak Mazlan Aliman, yang juga ahli jawatankuasa Amanah nasional, dan Pengerusi Hisbah, bekas senator Datuk Ezam Md Nor semalam.

Mereka dijangka melancarkan kempen pendedahan dan kesedaran rasuah dalam Felda 21 Mei ini, bermula dengan kawasan Felda di Parlimen Pekan, Pahang.
“Kami memilih Pekan kerana perdana menteri adalah orang yang bertanggungjawab terhadap perjalanan Felda. Jadi beliau kena buktikan komitmen beliau dan kami akan teruskan di kawasan Felda yang lain,” kata Mazlan.

Di Pahang sahaja dikatakan terdapat tidak kurang daripada 115 penempatan tanah rancangan Felda.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Shahrir sebagai pengerusi Felda 6 Januari lepas, menggantikan Tan Sri Isa Samad yang tamat tempoh perkhidmatannya.
Tidak lama kemudian, seorang bekas pengarah dan bekas timbalan pengarah besar Felda ditangkap SPRM dan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Mac lepas atas tuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan RM47.6 juta 3 tahun lalu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.