BREAKING NEWS

Wednesday, 3 May 2017

Operasi khas tangkap ketua gengster tak lama lagi

Polis sudah mengenal pasti ketua kumpulan gengster di seluruh negara yang tangkapan ke atas mereka akan dilakukan menerusi operasi khas tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, dengan tangkapan itu, kegiatan gengsterism di negara ini diyakini dapat dihapuskan secara drastik tidak lama lagi.

“Dalam tempoh setahun 6 bulan ini, kita akan dapat jatuhkan kegiatan gengsterisme menerusi pendekatan baharu yang digunakan polis ketika ini,” katanya pada Majlis Serah-Terima Tugas Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kegiatan gengsterisme yang dilaporkan menular dalam kalangan pelajar sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Rashid berkata, seramai 40 anggota Geng 24 dan 36 diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (Sosma).
“Selepas tindakan dikenakan ke atas anggota kumpulan 24 dan 36, aktiviti gengster sudah menurun sehinggakan baru-baru ini mereka menggunakan pula taktik baharu dengan melibatkan pelajar sekolah.

“Mereka (anggota kumpulan) tahu tindakan yang dikenakan ke atas pelajar agak sederhana iaitu di bawah Kanun Keseksaan berbanding mereka yang dikenakan tindakan di bawah Sosma yang apabila didakwa, mahkamah tidak akan memberi ikat jamin sehingga selesai perbicaraan kes,” katanya.
Rashid berkata, polis akan meningkatkan lagi hubungan dengan sekolah sebagai usaha memerangi kegiatan gengsterisme dalam kalangan pelajar.

Pada majlis itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi menyerahkan tugasnya untuk disandang Datuk Hasnan Hassan.

Rahim yang berkhidmat dengan kontinjen polis Perak selama setahun akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Turut diadakan acara serah tugas timbalan ketua polis Perak yang disandang Hasnan kepada Datuk Zainuddin Yaacob yang sebelum ini bertugas sebagai ketua penolong pengarah operasi darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
 
Copyright © 2014 PenangKini.