BREAKING NEWS

Wednesday, 10 May 2017

Orang ramai digalak kongsi rezeki

SUNGAI DUA - Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal menggalakkan mana-mana pihak yang berkeinginan untuk menyumbangkan barangan keperluan makanan untuk bersama-sama memeriahkan program kongsi rezeki yang diadakan pihaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal, Khairul Fitri Kiraman berkata, program kongsi rezeki ini sebenarnya membuka peluang kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang.

Menurutnya, pada program itu, sesiapa yang berhasrat menyumbang tetapi tidak tahu di mana saluran sebaiknya dapat menyumbangkan barangan kepada masjid.




“Apa yang disumbangkan itu akan diagihkan pula kepada pihak yang memerlukan atau keluarga memerlukan.

“Program kongsi rezeki yang bertempat di Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal ini merupakan antara satu inisiatif masjid ini dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Khairul berkata, sejak program ini berjalan hampir beberapa bulan lalu, 15,000 kampit beras dan ratusan barangan keperluan harian disumbangkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, selain daripada sumbangan secara terus, masjid ini turut mengalu-alukan mereka yang kurang berkemampuan untuk hadir mengambil sumbangan di masjid ini.

“Pihak masjid telah meletakkan barangan untuk disumbangkan pada rak di masjid ini, mereka yang kurang berkemampuan boleh hadir dan tulis nama pada buku yang disediakan sebelum ambil barangan itu," katanya. SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.