BREAKING NEWS

Tuesday, 9 May 2017

Pegawai Syariah dan Peguam Syarie Bangkit Melawan Rafizi Ramli

Institusi Perundangan Syariah tidak boleh lagi dipandang hina oleh ahli-ahli politik yang seringkali menyerang dan memperlekehkan Sistem Perundangan Syariah di Malaysia dalam meraih undi dan sokongan terhadap mereka. Sejarah telah tercipta bila mana seorang ahli parlimen iaitu Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan biadap dalam meraih undi bukan Islam. Berikutan kenyataan biadap yang dikeluarkan kepada hakim syarie, para pendokong Institusi Kehakiman Syariah bangkit melawan dari terus diperlekeh.
Ini terbukti dengan tiga laporan polis telah di buat oleh Ketua Hakim dan Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini yang mendesak Rafizi disiasat dibawah seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah hakim syarie.
Manakala Jabatan kehakiman Syariah Negeri Terengganu pula mendesak Rafizi memohon maaf dan memberi masa selama sebulan kepada beliau. Jika tidak, satu laporan polis di bawah seksyen yang sama akan dibuat.
Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) bersama-sama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah membuat aduan kepada Bahagian penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan atas alasan Rafizi menghina Mahkamah Syariah dan Pihak Berkuasa Agama.
Isyarat ini amat jelas bahawa mereka tidak lagi mahu terus diperlekeh dan dihina oleh golongan yang tidak suka kepada pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Serangan terhadap mahkamah syariah bukanlah baru dan ianya telah digerakkan sekian lama oleh puak-puak liberal khususnya kumpulan G25.
Isu kelewatan penyelesaian kes, pengabaian nafkah dan penyeksaan terhadap wanita sering dimainkan walaupun hakikatnya, keseluruhan jabatan kehakiman syariah berusaha keras dalam menambahbaik dan memperbaiki sistem perundangan syariah yang ada di negara kita sekarang.
Usaha menambah bilangan dewan mahkamah dan bilangan hakim dilakukan secara berterusan sesuai dengan bilangan kes yang semakin meningkat saban hari. Sistem pelaksanaan turut diperkemas dengan mewujudkan pelbagai sistem antaranya sistem e-syariah, e-nafkah, e-faraid dan sebagainya.
Namun usaha ini dipandang sepi oleh golongan politikus yang secara terangan memperlekeh hanya kerana gaji hakim syarie lebih rendah berbanding hakim mahkamah sivil. Mereka mungkin terlupa bahawa hakim syarie ini berperanan menegakkan keadilan sesuai dengan hukum syarak dan peruntukkan undang-undang sedia ada. Dalam erti kata yang mudah, hakim-hakim syarie hanya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa dan had hukuman yang ditetapkan.
Bilamana had hukuman dicadang untuk dinaikkan, serangan terus ditujukan kepada hakim syarie seolah-olah hakim syarie yang beria mahu menaikkan had hukuman. Malah Rafizi sanggup menghina hakim syarie yang katanya bakal terdedah kepada rasuah hanya kerana bergaji rendah. Pemikiran inilah sebenarnya yang membantutkan segala usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah.
Jika dilihat dari segi kenaikan gaji hakim syarie dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, sudah beberapa kali gaji hakim syarie (penjawat awam) dinaikkan oleh kerajaan. Sedangkan had hukuman mahkamah syariah kali terakhir disemak adalah 30 tahun yang lepas. jadi di sini, dimanakah kaitan antara hukuman dinaikkan akan menjadikan hakim syarie terdedah kepada amalan rasuah? Andaian ini adalah hanya berniat jahat dan semata-mata mahu hakim syarie dipandang hina oleh masyarakat awam.
Yang peliknya, peningkatan had hukuman bagi undang-undang lain yang tiada kaitan dengan memperkasa undang-undang Islam, tidak timbul pula isu hakim mahkamah sivil akan terdedah kepada rasuah. Kenapa apabila melibatkan mahkamah syariah, isu ini timbul?
Rafizi ini hanya mahu bermain politik dengan sama-sama mengheret Institusi Perundangan Syariah dan agama Islam. Jika tidak sokong sekalipun pindaan terhadap hukuman tersebut, janganlah sesuka hati membuat andaian kurang cerdik sedangkan semua hakim syarie hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.
 
Copyright © 2014 PenangKini.