BREAKING NEWS

Tuesday, 9 May 2017

Penjaja 'gagau' lori MBPP mengaku tak bersalah

PULAU PINANG: Dua penjaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan melarikan lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khamis lalu.

 Mohammad Haziq Ammar Mohd Hussain, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hassan, 34, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

 Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di gerai di hadapan Balai Bomba Bagan Jermal, Jalan Tanjung Tokong kira-kira pukul 8.30 malam, Khamis lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

 Khamis lalu, dua penjaja tersebut melarikan lori milik MBPP ekoran berang dengan tindakan penguatkuasa yang ingin menyita gerai jualan mereka. Difahamkan, MBPP menyerbu gerai jualan dua lelaki berkenaan yang beroperasi secara haram di Persiaran Gurney.

Kedua-dua lelaki itu kemudian meluru ke arah lori MBPP yang tidak dimatikan enjin, dan memandu kira-kira 2 kilometer ke Balai Polis Pulau Tikus. Salah seorang penjaja itu merakam video ketika dalam perjalanan, manakala seorang lagi memandu dalam keadaan yang marah.

 Dalam video berdurasi kira-kira 3 minit itu, kedua-dua lelaki berkenaan melemparkan kata-kata makian terhadap MBPP yang menyita gerai mereka.
 
Copyright © 2014 PenangKini.