BREAKING NEWS

Sunday, 21 May 2017

Program Umno bantu rakyat bukan untuk raih undi

Para peserta konvoi Jelajah Umno Bantu Rakyat dilepaskan oleh Dato Seri Zainal Abidin Osman di Jawi tengahari tadi.
NIBONG TEBAL - Program 'Umno Bantu Rakyat' yang sedang berlangsung di seluruh negara sekarang bukan bertujuan meraih undi pada pilihan raya umum akan datang, sebaliknya ia adalah usaha berterusan parti itu untuk membela nasib rakyat.
Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, parti itu menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat tanpa mengira waktu sejak 30 tahun lepas dan tidak hanya tertumpu ketika menjelang pilihan raya sahaja.
"Ada pihak kata Umno turun padang ketika ini kerana nak pilihan raya, sebenarnya itu tidak betul dan kami secara konsisten memang sentiasa membantu rakyat.
"Lagipun program ini bukan perkara baharu dan kita buktikan Umno bersungguh-sungguh turun ke bawah mendengar denyut nadi rakyat tanpa mengira waktu," katanya kepada pemberita selepas perasmian program Umno Bantu Rakyat di Pulau Pinang di sini, hari ini.
Majlis perasmian dan pelepasan konvoi 30 pacuan empat roda yang meneruskan perjalanan ke Kedah, iaitu negeri ke lima selepas Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan, dilakukan oleh Pengerusi Umno Pulau, Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
​​​​​​​Penjelajahan itu melibatkan 21 lokasi terpilih, termasuk di Sabah, berlangsung sehingga 1 Jun ini.
Sementara itu, Shamsul yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, seramai 500 penerima membabitkan peruntukan RM527,000 di Pulau Pinang menerima pelbagai bantuan dan inisiatif disalurkan Biro Kebajikan Umno.
Katanya, bantuan itu termasuk sumbangan bagi membuka akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) serta Tabung Haji, bantuan barangan keperluan harian kepada ibu tunggal dan anak yatim serta sumbangan khas Aidilfitri.
"Kami turut memberi sumbangan kepada pesakit kronik iaitu bantuan wang tunai setiap bulan bagi meringankan beban mereka membiayai perubatan," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.