BREAKING NEWS

Sunday, 7 May 2017

Sabah, Sarawak Dikecuali Dasar Kabotaj Mulai 1 Jun?


Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari pelabuhan di Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 1 Jun ini. Bagaimanapun pengecualian itu tidak terpakai kepada aktiviti perkapalan yang beroperasi antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Atas saranan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) Sabah, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan kargo mulai 1 Jun ini,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pelancaran program Ekspresi Negaraku di Padang Perbandaran di Sandakan, Sabah hari ini.



 Dipetik BH Online, Najib yang juga Menteri Kewangan I berkata, keputusan itu diambil berdasarkan saranan kerajaan negeri berhubung isu kabotaj yang menjadi antara faktor kenaikan harga di Sabah. Pada April 2016, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika memegang jawatan menteri perumahan dan menteri pelancongan Sarawak berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan kerajaan pusat untuk mengkaji dasar kabotaj bagi menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan ramai lagi usahawan di negeri itu.

 Kata beliau, pihaknya berharap melalui kajian itu, mana-mana produk dan bahan berasaskan makanan boleh terus dibawa ke negeri itu dan tidak perlu lagi melalui Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan kos berganda. Di bawah dasar kabotaj, pengangkutan barang-barang dan penumpang dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain di negara ini, hendaklah diangkut dengan kapal berdaftar dengan Malaysia dan mempunyai lesen perkapalan dalam negeri yang sah.

 
Copyright © 2014 PenangKini.