BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

Semua Pemimpin UMNO wajar mainkan peranan dekati golongan muda


Peranan serta tanggungjawab untuk mendekatkan golongan muda kepada UM­NO tidak boleh diletakkan ‘bulat-bulat’ di atas bahu sayap Pemuda serta Puteri semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, usaha itu sebaliknya perlu digalas oleh semua peringkat kepemimpinan parti terutama dalam memberikan penerangan berkaitan isu-isu terkini kepada golongan berkenaan supaya mereka tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

Malah, dalam mendekatkan UMNO kepada golongan muda, jelasnya, semua pihak dalam parti juga perlu mewujudkan pelbagai program yang mampu menarik minat golongan tersebut se­perti pe­nganjuran Karnival Sukan UMNO yang diadakan bersempena Sam­butan Ulang Tahun UMNO Ke-71.


"Semua pihak kena mainkan peranan dengan mengadakan program yang memberi manfaat selain mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Jika tuding-menu­ding jari antara satu sama lain atau mengikut aktiviti (masing-ma­sing), kita akan berpecah-belah.

“Kita semua harus ingat bahawa hanya kesatuan dan perpaduan mampu menyatukan kita dan itu penting terutama semasa kita meraikan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71,” katanya selepas menutup Karnival Sukan UMNO di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Pada masa sama, Hishammuddin ketika berucap menyeru semua sayap parti supaya tidak menunggu isyarat daripada Pre­siden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggerakkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, jelas beliau, gelombang itu perlu digerakkan oleh semua sayap UMNO terutama dalam keadaan landskap politik yang berubah selain kedudukan parti yang ketika ini berhadapan dengan pelbagai tuduhan daripada pihak pembangkang.

“Kita perlu bergerak dari sekarang memulakan gelombang untuk menghadapi PRU-14. Wa­laupun secara kecil-kecilan mampu menjadi tsunami sekali gus me­nunjukkan kelangsungan perjuangan UMNO.

“Semangat anak muda perlu diteruskan, panji kita keluarkan dan perlu memastikannya sampai sehingga pilihan raya nanti,” katanya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.