BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

Tiga Kapal Perang China Bakal Berlabuh Di Pulau Pinang

Tiga kapal perang dari China akan berlabuh di Pulau Pinang Jumaat depan yang dilihat sebagai pengukuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara kuasa besar Asia itu.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Tan Teik Cheng berkata kapal perang itu dijadualkan berlabuh selama tiga hari, iaitu dari 12 hingga 15 Mei, di Pelabuhan Butterworth dan dijangka tiba pada jam 10 pagi.

“Kedatangan kapal perang itu akan mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan antara Malaysia dan China, selain meningkatkan hubungan persahabatan,” kata Tan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Semasa berlabuh di Pulau Pinang, sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia, Armada Tentera Laut China berkenaan akan mempamerkan aset kapal pemusnah CNS Changchun jenis 052C, kapal frigat CNS Jingzhou jenis 054A dan kapal CNS Chaohu jenis 903.

Tan, yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang (Malaysian Chinese Association, sebuah parti dalam gabungan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia) berkata pihak berkuasa pelabuhan sedang membuat persiapan bagi memudahkan kesemua kapal berkenaan berlabuh di sana.

Tambahnya, Konsul Besar China ke Pulau Pinang, Wu Jun dijangka menyelia kesemua kapal frigat yang berlabuh itu.

Konsul Besar China itu juga menjemput rakyat tempatan untuk merasai pengalaman menaiki kapal terbabit pada hari terbuka yang akan diadakan.

Selain itu, beberapa tetamu kenamaan termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan turut mengadakan kunjungan kehormat ke atas kapal berkenaan.

Kapal dari negara China itu sebelum ini telah berlabuh di Davao City, Mindanao yang terletak di selatan Filipina, selama tiga hari pada Ahad lepas.

Armada tentera laut itu dijangka melawat kira-kira 20 negara di Asia, Eropah, Afrika dan Oceania, dengan diketuai Laksamana Muda Shen Hao, Timbalan Komander Armada Laut Timur The People’s Liberation Army Navy. 

Malaysia dan negara jirannya, Filipina, telah membina hubungan lebih rapat dengan Beijing, yang dilihat sebagai peralihan daripada pakatan dengan AmerikaSyarikat.

Malaysia dan Filipina juga adalah antara negara di Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian dengan China berhubung tuntutan wilayah masing-masing di Laut China Selatan.

Pada hujung Mac lalu, Menteri Pertahanan China Chan Wanquan mengadakan lawatan ke Malaysia yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan kedua-dua menteri pertahanan berkenaan untuk mengenal pasti bentuk kerjasama yang lebih praktikal dan berpotensi dalam aspek pertahanan dengan lebih tersusun.

Pada November lepas, Malaysia telah memeterai perjanjian pertahanan pertama bersaiz mega dengan China semasa lawatan rasmi enam hari Perdana Menteri Najib Razak ke Beijing.


Semasa ditemu ramah oleh agensi berita China, Xinhua, Najib berkata urusniaga pertahanan signifikan itu adalah yang pertama seumpamanya antara Malaysia dan China.

Menerusi perjanjian itu, Malaysia akan membeli empat kapal pesisir tentera laut China. Bagaimanapun Najib tidak memberikan butiran lanjut mengenai urusniaga tersebut.

Najib turut memuji hubungan strategik negaranya dengan China dan meluahkan rasa jengkel terhadap Barat di dalam satu artikel, yang menyaksikan beliau memberi amaran kepada ‘bekas kuasa penjajah’ supaya melayani negara-negara kecil ‘dengan adil’ dan tidak hanya ‘berleter’ mengenai urusan dalam negara’ mereka.

Sehari selepas mempengerusikan majlis menandatangani satu perjanjian di Beijing untuk membeli empat kapal perang dari China - pembelian pertama kapal perang China oleh Malaysia - Najib menghurai lanjut pengukuhan kerjasama dua hala perdagangan, pelaburan dan pertahanan di dalam satu artikel yang disiarkan akhbar China Daily.

"Kini, hubungan antara negara kita sedang menuju ke aras lebih tinggi," kata Najib dalam artikel itu.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Shahriman Lockman ketika dihubungi memberitahu lawatan persahabatan kapal perang itu ke Malaysia adalah sebahagian daripada lawatan ke 20 pelabuhan di negara Asia.

“Ia menonjolkan betapa China semakin melihat nilai angkatan tenteranya dalam strategi diplomatik secara keseluruhan,” katanya kepada BeritaBenar sambil menambah kapal perang China sebelum ini berlabuh atas tujuan praktikal seperti pengisian bahan mentah dan bahan bakar.

Beliau menambah langkah mempamerkan aset atau kekuatan pertahanan adalah sesuatu yang asing bagi China kerana ia tidak berhasrat menonjolkan kebangkitan elemen ketenteraan.

“Lawatan ini adalah demonstrasi pelaburan China yang semakin meningkat dalam diplomasi pertahanan,” katanya.

Beliau juga berkata Pulau Pinang dipilih setelah Pelabuhan Klang tidak mempunyai ruang berlabuh yang mencukupi pada waktu itu.

Pulau Pinang merupakan negeri ketiga di Malaysia yang mempunyai pejabat Konsulat Jeneral China selepas Sarawak dan Sabah.

S.C Lei di George Town turut menyumbang kepada laporan ini
 
Copyright © 2014 PenangKini.