BREAKING NEWS

Tuesday, 9 May 2017

TN50: Anak muda mahu pendidikan 1 aliran


Sistem pendidikan 1 aliran dan suasana kehidupan dalam sebuah persekitaran yang selesa di masa hadapan adalah antara aspirasi yang disuarakan anak muda Pulau Pinang dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, rata-rata anak muda Pulau Mutiara itu menyuarakan hasrat mereka mahukan sebuah sistem pendidikan yang berpotensi tinggi dengan menggunakan kaedah dan teknologi serta persekitaran yang baharu.
“Selain pendidikan, golongan muda di sini juga mahu melihat sebuah persekitaran yang lebih mampan, ke arah gaya hidup yang lebih berkualiti, kesejahteraan menjadi kayu pengukur untuk pembangunan masa hadapan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai mendengar pelbagai aspirasi anak muda negeri ini pada sesi dialog TN50 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini yang dihadiri lebih 3,000 golongan muda.
Sambil memuji rata-rata anak muda yang begitu bersemangat ketika melontarkan aspirasi masing-masing dalam sesi dialog tersebut, Khairy berkata, lebih 84 aspirasi daripada 47 belia telah dilontarkan dalam majlis itu yang turut menarik perhatian tetamu lain dalam dewan tersebut.
Selain itu Khairy berkata, jumlah tontonan FBlive TN50 turut mencatatkan tontonan luar biasa iaitu mencecah 100,000 tontonan, sekali gus menjadi tontonan tertinggi bagi sesi dialog itu berbanding di negeri lain sebelum ini.
Sementara itu menjawab berhubung pendidikan sistem 1 aliran di sekolah, Khairy berkata, pada masa ini dasar kerajaan masih mengamalkan dasar pendidikan yang sedia ada.
“Kami masih lagi dalam peringkat pengumpulan aspirasi, ini baru peringkat perbincangan dan pengumpulan aspirasi saja, dasar kerajaan masih dasar yang sedia ada, kami belum membuat keputusan untuk mengubah dasar tersebut.

FMT

 
Copyright © 2014 PenangKini.