BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

UMNO Bukan Parti Rasis - DS Najib Razak

KUALA LUMPUR 11 Mei - UMNO bukan parti rasis atau perkauman sebaliknya turut sama memperjuangkan kepentingan semua kaum dan etnik di negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak

Presiden UMNO berkata, UMNO yang mengetuai Barisan Nasio­nal (BN) sejak lebih enam dekad lalu sentiasa berpegang kepada permuafakatan dan semangat kerjasama dengan parti-parti komponen yang mewakili kaum-kaum lain.

“UMNO bukan parti rasis, perkauman dan jauh sekali melampau.


“Kita sanggup bermuafakat, bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berucap di depan ratusan ribu hadirin termasuk ahli-ahli UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara sempena Sambutan Ulang­ Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Yang turut hadir ialah dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein;
Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ketua Pu­teri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pemimpin parti-parti komponen BN.

Najib menambah, terdapat empat sebab UMNO sehingga kini mampu bertahan seterusnya memacu pembangunan negara.

“Pertama, kita tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti berpaksikan Melayu, Islam dan bumiputera.

“Kedua, kita meletakkan asas perjuangan untuk rakyat. Kita berjuang bukan untuk ahli tetapi seluruh rakyat.

“Ketiga, UMNO sentiasa re­levan yang mana dasar kita sesuai untuk setiap zaman dan era.

“Keempat, visi dan tindakan kita bukan macam pembangkang. Parti-parti komponen BN seperti dalam satu keluarga yang mendukung dasar yang sama,” ujar­nya.

Beliau turut menyelar sikap dan tindakan segelintir bekas pemimpin tertinggi UMNO yang sanggup mengkhianati parti seterusnya bersekongkol dengan pembangkang demi memenuhi agenda peribadi.

“Sayang seribu kali sayang, selama 71 tahun UMNO berusaha gigih dalam menyatupadukan orang-orang Melayu untuk maju ke depan, tiba-tiba bekas pe­mimpin utama ini, hanya kerana kepentingan peribadi, bukan sahaja telah memecah-belahkan kesatuan orang-orang Melayu, sehingga sanggup memburuk-burukkan negara sendiri, bahkan tergamak beliau memerangi UMNO, parti yang pernah diterajuinya dulu,” ujarnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.