BREAKING NEWS

Friday, 12 May 2017

UMNO ‘Perlu inklusif, tidak boleh seperti parti biasa’

UMNO tidak boleh lagi menjadi sebuah gerakan politik biasa yang hanya bersandarkan kepada sejarah lampau, sebaliknya perlu bersifat inklusif dan mendapat sokongan pelbagai kaum untuk terus kekal relevan.

Pandangan itu disuarakan oleh Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 parti keramat tersebut yang di­sambut secara besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) agenda transformasi UMNO perlu diperhebatkan dan perlu menjadi parti inklusif dengan diterima oleh semua bangsa, masyarakat kampung dan bandar, serta golongan muda, pertengahan dan veteran.


Katanya, UMNO tidak boleh lagi bersandarkan kepada rekod cemerlang masa lalu memandangkan dunia hari ini kian berubah dengan pantas.

“Kita perlu membina kemampuan untuk memberi penera­ngan isu semasa dengan meyakinkan, menggunakan kae­dah yang lebih kreatif dalam mendekati masyarakat termasuk melalui media sosial dan menawarkan harapan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO mampu membina masa hadapan yang lebih cerah untuk semua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan UMNO perlu dianggotai dan dipimpin secara luar kotak kebiasaan parti politik supaya kekal relevan dan terus hidup zaman berzaman.

“Justeru UMNO mesti terus mendepani zaman dan mencari pendekatan yang lebih menarik serta santai terutamanya untuk mendekati anak muda. Kepelbagaian pemikiran anak muda harus ditangani dengan kebijaksanaan.

“Menjadi tanggungjawab UMNO menjuarai anak muda supaya mereka menyakini UMNO adalah ‘Parti Perjuangan’, dan sama-sama mendukung TN50 (Transformasi Nasional 2050) untuk menjadikan Malaysia sebagai 20 negara teratas di dunia,” katanya.

Seorang lagi Ahli Majlis Ter­tinggi parti, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, UMNO perlu menjadi parti yang popular dalam kalangan rakyat kerana survival parti dalam pilihan raya ditentukan oleh rakyat.

Katanya, sambutan ulang tahun UMNO yang bertemakan ‘Tujuh Dekad Memperjuangkan Bangsa’ jelas menunjukkan parti itu bukan hanya berjuang untuk kepentingan ahlinya sahaja , dan kerana itulah UMNO bertahan sehingga kini.

“Paling jelas UMNO sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dipersekitarannya. Namun prinsip perjuangannya tidak pernah berubah,” ujar beliau.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.