BREAKING NEWS

Friday, 9 June 2017

5 universiti tempatan tersenarai 300 terbaik dunia

Kedudukan kesemua lima universiti penyelidikan di negara ini meningkat dan berada dalam senarai 300 universiti terbaik di dunia bagi penilaian 2017/2018 seperti yang diterbitkan oleh Quacquarelli 
Symonds (QS) hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, lima universiti itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata, berikutan peningkatan tersebut kesemua lima universiti itu kini tersenarai dalam kelompok satu peratus teratas di dunia atau 300 terbaik daripada lebih 26,000 universiti yang diiktiraf di seluruh dunia serta tersenarai di dalam QS.


“Dalam senarai diterbitkan oleh QS, UM dan UPM menunjukkan peningkatan untuk lima tahun berturut-turut iaitu dari 2013 hingga 2017. UM kekal universiti terbaik negara di kedudukan ke-114 iaitu di ambang kelompok 100 terbaik di dunia.


Remaining time: 28s Powered By YuMe
“UPM pula menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 182 tempat yang menjadikan kedudukan terkini di tempat ke-229, kedudukan UPM sebelum ini di tempat ke-411 dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Idris, UKM pula me­nunjukkan peningkatan sebanyak 39 tempat sekali gus menempatkan universiti itu di kedudukan ke-230 berbanding kedudukan 269 pada 2016 manakala USM pula berada di tempat ke-264 selepas meningkat sebanyak 91 tempat.

“UTM juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 102 tempat daripada kedudukan ke-355 pada 2013/2014 kepada tempat ke-253 pada 2017/2018. Pencapaian ini berita baik bagi landskap pendidikan tinggi negara.

“Bagi tempoh 2007 hingga 2016, universiti penyelidikan telah menjana lebih daripada RM6.18 bilion untuk negara. Ini merupakan 55.3 peratus pulangan pelaburan pendidikan daripada pelaburan awal kerajaan iaitu sebanyak RM3.98 bilion,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian yakin dengan perancangan strategik seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM) 2015-2025 serta usaha yang berterusan untuk menempatkan universiti tempatan dalam kedudukan 100 terbaik dunia.

“Sejak 2013, peningkatan kedudukan lima universiti tersebut amat memberangsangkan sekali gus membuktikan ekosistem pendidikan tinggi negara semakin mantap dan dinamik. Pada tahun ini kementerian juga meraikan ulang tahun ke-10 inisiatif penubuhan universiti penyelidikan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sistem kedudukan yang dinilai oleh QS melibatkan empat bidang utama iaitu penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran dan pengantarabangsaaan. Daripada lebih 26,000 universiti di seluruh dunia, hanya 959 disenarai pendek oleh QS utuk berada dalam ranking dunia badan itu.

 
Copyright © 2014 PenangKini.