BREAKING NEWS

Tuesday, 13 June 2017

AKSEM rampas 30,000kg beras pulut seludup

Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) merampas dua lori membawa muatan 30,000 kilogram (kg) beras pulut bernilai RM120,000, dipercayai diseludup dari negara jiran dalam dua serbuan berasingan di Changlun di sini, petang semalam.

 Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah, berkata rampasan pertama dilakukan membabitkan sebuah lori lima tan dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun di Jalan Kampung Langsat-Changlun, di sini, selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan beras pulut. "Lori terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang dan hasil pemeriksaan menemui 300 guni beras yang dipercayai cuba diseludup kerana pemandu itu tidak menunjukkan sebarang dokumen untuk membawa bahan itu.

"Selang 20 minit kemudian kita menahan sebuah lagi lori tiga tan tan yang dipercayai menyeludup 300 guni beras pulut masuk ke negara ini di Jalan Kodiang-Changlun yang terletak tidak jauh dari lokasi pertama," katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini. Katanya, berdasarkan siasatan lelaki rakyat tempatan yang bekerja sebagai pemandu salah sebuah lori itu mengaku diupah RM200 untuk membawa barangan itu, namun pihaknya percaya berkemungkinan dia memperoleh lebih dari yang dinyatakan sehingga sanggup melakukan kegiatan dilarang itu.

 "Beras pulut mendapat permintaan tinggi sempena musim perayaan ini dan penyeludup dipercayai mengambil kesempatan berikutan harga pasaran di Thailand lebih murah dan mampu mengaut keuntungan banyak dengan menjualnya di negara ini," katanya. Katanya, pihaknya percaya kedua-dua kes itu mempunyai kaitan kerana membawa beras pada kuantiti sama tetapi bergerak secara berasingan ke lokasi yang sama untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa, malah kedua-dua  lori terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kedua-dua kes diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Padi dan Beras 1994 (522), yang boleh dihukum denda maksimum RM25,000 dan barangan dirampas, jika sabit kesalahan.


 
Copyright © 2014 PenangKini.