BREAKING NEWS

Monday, 5 June 2017

Bekalan bahan mentah akan diimport jika tidak cukup menjelang Aidilfitri

BATU KAWAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengimport bekalan bahan mentah sekiranya berlaku kekurangan bagi menampung permintaan dan keperluan pada Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bagaimanapun setakat ini berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati bekalan bahan mentah di pasaran seperti daging lembu dan ayam serta sayur-sayuran masih mencukupi.

Mengulas mengenai kenaikan harga bahan mentah terutama ayam dan sayur-sayuran, Tajuddin berkata perkara itu berlaku berdasarkan faktor perniagaan seperti kos pengeluaran serta penambahan kos oleh pengusaha tani.

"Kerajaan juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seperti dituduh beberapa pihak terutama pembangkang sebaliknya kenaikan itu adalah disebabkan faktor perniagaan yang menyebabkan penambahan kos," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barang makanan kepada 200 ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan di Parlimen Batu Kawan, di sini hari ini. - Bernama

kosmo
 
Copyright © 2014 PenangKini.