BREAKING NEWS

Friday, 16 June 2017

Beras tiruan plastik tidak wujud di Malaysia

Pengilang-pengilang beras dari wilayah utara hari ini menafikan wujudnya beras palsu yang diperbuat daripada plastik di negara ini seperti yang ditularkan menerusi laman sosial sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Pengilang Beras Sinomalay Kedah, Tan Yen Seong berkata perkara itu sangat tidak logik memandangkan harga plastik lebih mahal daripada beras.
“Ia sangat tidak berasas. Pihak kami merasakan wujudnya keadaan beras plastik adalah kerana kesilapan cara pengguna memasak beras itu. Seperti yang kita tahu, setiap jenis beras perlu dimasak dengan cara berbeza.

“Mungkin ketika masak, pengguna meletakkan air yang sedikit hingga menyebabkan nasi yang dimasak menjadi keras seperti plastik,” katanya pada sidang media mengulas beras palsu di pejabat persatuan terbabit.
Tan berkata pihaknya sangat kesal dengan penularan berita beras palsu di media sosial yang menjejaskan imej pengilang selain menyebabkan pengguna waswas untuk membeli beras yang ada di pasaran.
Beliau juga berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
Pengguna yang masih waswas mengenai kualiti beras yang dibeli, diseru merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di tempat masing-masing.
 
Copyright © 2014 PenangKini.