BREAKING NEWS

Sunday, 4 June 2017

Berpuluh lari selamatkan diri dari kubu militan di Marawi


MARAWI: Berpuluh-puluh orang cuba meninggalkan kawasan bandar Marawi, selatan Filipina, bagi mengelak serangan udara membabitkan tentera negara itu dan kumpulan bersenjata Islam hari ini selepas terperangkap sejak pertempuran tercetus hampir 2 minggu lalu.

Sekumpulan 38 orang berkata, mereka berlari dari tempat persembunyian di bandar Marawi yang dikawal oleh lelaki-lelaki bersenjata kumpulan Negara Islam (IS) sementara tentera merampas sebuah jambatan utama di kawasan itu untuk memberi orang awam laluan yang selamat.

“Kami baring di atas lantai dalam gelap setiap malam apabila kami mendengar bunyi tembakan atau letupan.

“Kami menjadikan perabot dan peti sejuk sebagai perisai pintu,” kata guru sekolah tinggi, Jerona Sedrome, 27, kepada AFP.

“ISIS cuba memasuki rumah kami dan mereka berjaya dalam percubaan kedua. Jadi kami bersembunyi di dalam terowong bawah rumah,” katanya yang menggunakan singkatan ISIS sebagai alternatif bagi IS.

Beratus-ratus lelaki bersenjata terlibat dalam pertempuran di bandar Islam yang terdiri daripada 200,000 penduduk, kebanyakannya Katolik Filipina, pada 23 Mei selepas tentera kerajaan cuba menangkap pemimpin mereka, Isnilon Hapilon.

Sehingga 50 lelaki bersenjata terus mengawal pusat bandar Marawi hampir 2 minggu dengan sekurang-kurangnya 15 tebusan termasuk seorang paderi Katolik digunakan sebagai perisai manusia, kata tentera.

Malah pihak kerajaan juga berkata, seramai 2,000 orang turut mungkin tanpa makanan dan air dan dengan beberapa orang cedera atau sakit apabila pasukan keselamatan melancarkan serangan tanpa henti.

Tentera berkata mereka melepaskan meriam dan roket dari udara serta menjatuhkan bom konvensional sementara tentera darat bergerak menggunakan kereta perisai.

Sekurang-kurangnya 70 orang diselamatkan hari ini ketika pertempuran sengit berterusan, termasuk 23 guru dari Dansalan College, bersama-sama dengan bayi berusia setahun, 7 kanak-kanak dan 7 lagi orang dewasa.

Lelaki bersenjata membakar kolej pada hari pertama pertempuran dan guru-guru pula berkata, bom dan kebakaran juga memusnahkan banyak rumah-rumah yang mereka gunakan sebagai tempat untuk bersembunyi.

Kolej Dansalan dikendalikan oleh Gereja Katolik, dan semua guru adalah Kristian.

Guru-guru menceriterakan kepada AFP bagaimana mereka bergantung hidup dengan nasi kukus dan air hujan.

“Jika tidak hujan, kami tidak mempunyai air dan tidak akan makan,” kata adik perempuan Sedrome, Jane Rose Sedrome, 25, yang juga seorang guru.

Kakak sulung itu memberitahu, mereka secara senyap berhubung dengan pasukan penyelamat kerajaan dengan mesej teks telefon mudah alih di sebalik pengalaman pahit serta bertindak untuk keluar dari kawasan terperangkap apabila dimaklumkan lelaki bersenjata telah dihalau dari kawasan jambatan.

Tetapi mereka terpaksa melalui lorong penembak hendap di Bangolo, kawasan lama di bandar ini, yang merupakan salah satu sasaran serangan udara siang dan malam.

“Kami melalui 3 mayat yang dimakan oleh ulat. Ia berbau sangat teruk,” kata rakan sekerjanya, Regene Apao, 23, kepada AFP.

“Kami tahu mereka ISIS kerana mereka memakai pakaian hitam dan topeng kepala hitam.”- AFP

 
Copyright © 2014 PenangKini.