BREAKING NEWS

Sunday, 4 June 2017

Di mana Khalid Samad Aqidah Sekarang ? - Kamarul Yusoff






Membaca teks ucapan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, sewaktu beliau masih merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, adalah jelas bahawa perkara yang terpenting di dalam perjuangan beliau pada waktu itu ialah “perjuangan aqidah”.
Beberapa petikan ucapan Khalid Samad ini menjadi buktinya:
(1) “Perjuangan untuk menegakkan Islam adalah pada dasarnya satu perjuangan aqidah. Ianya bukanlah merupakan satu perjuangan untuk merampas kekuasaan pemerintahan semata-mata. Akan tetapi adalah merupakan perjuangan untuk membebaskan manusia dan masyarakat daripada genggaman aqidah palsu ke arah menghayati aqidah Islam yang sebenar.”
(2) “Jatuhnya barisan pemerintahan yang tertentu, akan digantikan dengan yang lain yang pada dasarnya sama dengan yang digantikan selagi mana aqidah masyarakat tidak berubah. Dalam erti kata yang lain, institusi yang merupakan penjelmaan aqidah itu, sekiranya dirobohkan, akan digantikan dengan institusi yang tetap merupakan penjelmaan aqidah yang sama kerana ianya, iaitu aqidah itu, tidak diubah dan diganti dengan yang lain.”
(3) “Kita mesti menentukan kemusnahan cara hidup jahiliyyah itu, bukan dengan sekadar merobohkan institusi-institusi jahiliyyah, tetapi lebih dari itu, menghapuskan aqidah jahiliyyah yang bermaharajalela di dalam hati manusia. Ditanamkan serentak dengan itu, aqidah Islam yang murni sehingga manusia berubah dari cara jahiliyyah ke arah cara Islam.”
(4) “Matlamat perjuangan kita adalah pembentukan umat muttaqin yang sebegini. Bukan soal kuasa pemerintahan semata-mata. Bukan soal ekonomi Islam semata-mata. Itu semua adalah pancaran, hasil daripada wujudnya umat yang sedemikian rupa dan bukan sebaliknya. Kerana, apabila aqidah Islam telah ditanam, maka ia akan membesar menjadi satu cara hidup yang sempurna dan serba lengkap.”
(5) “Kenyataan inilah yang seringkali dilupai oleh mereka yang inginkan perubahan secara pantas. Seringkali mereka beranggapan bahawa kekuasaan pemerintahan adalah sebagai langkah yang pertama. Bahawa dengannya Islam akan tertegak. Mereka lupa akan aqidah jahiliyyah yang terbenam di dalam pemikiran masyarakat.”
(6) “Perjuangan yang menanam aqidah adalah satu-satu jalan yang kita perlu ikuti. Pendedahan mengenai aqidah Islam perlu kita lakukan sambil kita dedahkan kepalsuan aqidah cara hidup dewasa ini. Pertembungan aqidah yang sebegini perlu, demi menanam aqidah yang benar dan menghapus aqidah kebatilan. Persoalan perbezaan aqidah perlu ditonjolkan dalam semua isu-isu yang dikupas dan dibahas, sama ada isu politik, sosial ataupun ekonomi. “
(7) “Persoalan aqidah ini perlu diheret ke tengah-tengah masyarakat dan dijadikan bagaikan buah mulut setiap peribadi di dalam masyarakat. Satu pentas umum yang dilihat oleh semua, seperti yang berlaku dengan pengisytiharan Nabi Muhammad SAW di Bukit Safa dan pertarungan Nabi Musa AS dengan Fir’aun, perlu digunakan supaya risalah Tauhid akan dapat disampaikan dengan berkesan.”
(8) “Perlulah kita memahami bahawa kita tidak bergerak di dalam satu vacuum tetapi di dalam masyarakat yang mempunyai undang-undang dan institusi-institusi tersendiri. Sudah pasti undang-undang dan institusi-institusi ini tidak bersesuaian dengan Islam kerana ianya bukan negara Islam. Itulah sebabnya Parti Islam itu perlu diwujudkan untuk menegakkan negara Islam!”
Beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Khalid Samad:
(1) Apakah “perjuangan aqidah” ini sudah tidak lagi menjadi perkara terpenting di dalam perjuangan anda dan parti anda, AMANAH?
(2) Apakah “aqidah jahiliyyah yang bermaharajalela di dalam hati manusia” sudah berjaya anda dan parti anda, AMANAH, hapuskan?
(3) Apakah anda dan parti anda, AMANAH, mengheret persoalan aqidah ke tengah-tengah masyarakat dan menjadikannya buah mulut setiap peribadi?
(4) Apakah anda dan parti anda, AMANAH, telah berjaya menanam aqidah Islam yang sebenar ke dalam masyarakat?
(5) Apakah anda dan parti anda, AMANAH, menonjolkan persoalan perbezaan aqidah dalam semua isu-isu yang dikupas dan dibahas?
(6) Apakah anda dan parti anda, AMANAH, bukan merupakan satu perjuangan untuk merampas kekuasaan pemerintahan secara pantas?
(7) Apakah jika anda dan parti anda, AMANAH, berjaya memerintah Malaysia anda dan parti anda akan merobohkan institusi-institusi jahiliyyah?
(8) Apakah jika anda dan parti anda, AMANAH, berjaya memerintah Malaysia anda dan parti anda akan menegakkan negara Islam ?








 
Copyright © 2014 PenangKini.