BREAKING NEWS

Thursday, 1 June 2017

Dr. Mujahid Lambang Hipokrasi Pemimpin AMANAH


Di dalam Perlembagaan AMANAH ada tercatat bahawa tujuan ia ditubuhkan adalah untuk, di antara lainnya, “Mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani” (To establish a Civil Society and State), “Mendukung pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” (To promote moderation, openness, and democracy in the political approach) dan “Mengawal dan mempertahankan kebebasan-kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang” (To safeguard and defend the fundamental liberties and the rule of law).
Hairannya, bila timbul isu membabitkan saya dan pemimpin DAP, Hannah Yeoh, semua ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” ini terus hilang.
Demi mempertahankan apa yang didakwa sebagai kebebasan asasi Hannah Yeoh ini, kebebasan asasi saya sendiri telah diketepikan terus. Sebaliknya, saya telah dikecam dengan gelaran bodoh dan seumpamanya.
Walhalnya, seperti disebut oleh the Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Malaysian Lawyears Circle (MLC), Muslim Lawyers Association Malaysia (PPMM), iPeguam and Young Professionals (YP) di dalam kenyataan media mereka pada 20 Mei, kemelut ini berpunca daripada tindakan Hannah Yeoh membuat laporan polis terhadap saya yang “clearly amounts to the deprivation of the right of an academician to his academic freedom of speech and expression, a fundamental right that is guaranteed him by Article 10(1)(a) of our Federal Constitution and Article 19 of the Universal Declaration of Human Rights (UDHR)”.
Bila saya membuat laporan polis balas terhadap Hannah Yeoh, ada di antara pemimpin AMANAH ini yang mengecam saya kerana berbuat demikian. Kata mereka, saya seharusnya berdialog dengan Hannah Yeoh, bukan membuat laporan polis. Walhalnya, Hannah Yeoh yang tidak bersedia berdialog dengan saya dan terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap saya.
Ekoran pembelaan Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, terhadap Hannah Yeoh, saya telah di antara lainnya menulis empat komentar yang menyentuh cadangan Dr Mujahid bahawa parti politik yang berasaskan kaum dan agama perlu diharamkan dan kenyataan beliau bahawa AMANAH adalah penerusan perjuangan Yusof Rawa.
Komentar yang menyentuh cadangan Dr Mujahid supaya parti politik yang berasaskan kaum dan agama diharamkan adalah bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” (25 Mei) dan “Waraskah Dr Mujahid Dengan Cadangannya?” (27 Mei) manakala komentar yang menyentuh kenyataan AMANAH adalah penerusan perjuangan Yusof Rawa pula adalah bertajuk “AMANAH Adalah Penerusan Perjuangan Yusof Rawa: Siapa Yang Dr Mujahid Mahu Perbodohkan?” (28 Mei) dan “Dr Mujahid Dan AMANAH Penyeleweng Legasi Yusof Rawa (28 Mei)”.
Semalam, 30 Mei, Dr Mujahid menulis satu artikel bertajuk “Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan” di dalam blog beliau bagi mengulas komentar-komentar saya ini.
Saya sekadar tergelak melihat bahasa yang digunakan oleh Dr Mujahid yang melambangkan betapa “progresif” dan “terbuka”nya beliau di dalam berwacana. Di antara lainnya, ini terdapat di dalam kenyataan beliau yang berbunyi “‘kegilaan’ pensyarah ini ‘menyerang’ AMANAH dan saya”, “kejahilannya kepada disiplin Maqasid benar-benar menyerlahkan ‘kecerdikannya’” dan “saya menganggap pandangannya pada PAS hanyalah akademik yang duduk dalam bilik malah lebih buruk jikalau dia hanya merupakan penulis upahan demi mendapat sesuatu habuan peribadi”.
Apa pun, saya sekadar mahu mengulas mengenai dakwaan Dr Mujahid bahawa “AMANAH telah meletakkan Yusof Rawa, Fadhil Nor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai legasi contoh yang patut diteruskan pemikiran politik mereka” dan bahawa saya kononnya “terasa tertekan dengan pengiktirafan AMANAH kepada tiga tokoh parti Islam ini”.
Saya tidak pernah terasa tertekan dengan pengiktirafan AMANAH kepada Almarhum Haji Yusof Rawa, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apa yang saya pertikaikan hanyalah kewajaran AMANAH menggunakan nama mereka bagi memberi legitimasi ke atas penubuhan AMANAH, kononnya AMANAH adalah penerusan perjuangan mereka, bila hakikat sebenarnya menunjukkan bahawa perjuangan AMANAH adalah jauh berbeza dari perjuangan mereka.
Perbandingan yang saya buat terhadap tahaluf siyasi yang dibuat oleh PAS di bawah pimpinan Haji Yusof dengan tahaluf siyasi yang dibuat oleh AMANAH pula bukanlah “tulisan sia-sia yang Allah sahaja tahu apa motifnya” seperti yang Dr Mujahid dakwa kerana ia adalah perlu bagi memberikan justifikasi terhadap kenyataan beliau kononnya AMANAH adalah penerusan perjuangan Haji Yusof. Bila terbukti tahaluf siyasi yang dibuat oleh PAS di bawah pimpinan Haji Yusof adalah jauh berbeza dari tahaluf siyasi yang dibuat oleh AMANAH maka terbuktilah bahawa AMANAH bukanlah penerusan perjuangan Haji Yusof.
Lebih membuatkan saya tergelak dengan artikel Dr Mujahid ini ialah kenyataan beliau bahawa “saya dinasihatkan oleh peguam saya untuk menjawab dua sahaja (daripada tiga tulisan yang dimuatkan dalam status mukabukunya) kerana salah satu tulisannya itu akan dikendalikan oleh peguam saya” yang menggambarkan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya.
Sesungguhnya ancaman Dr Mujahid bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ini memberikan imej yang sangat buruk terhadap AMANAH. Ia menggambarkan bahawa AMANAH adalah sebuah parti “jumud” yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwarwarkan dan bukannya sebuah parti “progresif” seperti yang terpamer di dalam cogan katanya.
Ia juga menggambarkan bahawa ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” hanyalah sekadar hiasan untuk mengelabukan mata semata-mata.
Jika benar Dr Mujahid bukanlah antara kuda tunggangan terbaik DAP, seperti yang didakwa oleh saya, kerana mengutarakan semula cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, beliau seharusnya mengemukakan bukti mengapa beliau bukan begitu.
Tidak memadai dengan Dr Mujahid sekadar menyebut: “Beliau ada memetik kata-kata saya dalam portal bahawa PH jika ke Putrajaya akan menghapuskan politik berasaskan kaum dan agama. Saya bercadang untuk menjelaskan secara lebih khusus apa yang dimaksudkan...” Kenapa sekadar “bercadang” dan kenapa tidak terus diberikan penjelasan mengenai perkara yang penting ini?
Apa pun, saya sentiasa bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang dari Dr Mujahid. Tindakan undang-undang ini, bagi saya, sangat penting kerana ia adalah lambang kepada kehipokrasian pemimpin AMANAH.


 
Copyright © 2014 PenangKini.