BREAKING NEWS

Monday, 12 June 2017

Guan Eng gagal jawab 5 persoalan


PUTRAJAYA - Selepas mengesahkan Perbelanjaan Operasi Tahunan Pulau Pinang meningkat setiap tahun mencecah 500 peratus daripada apa yang dibelanjakan pada 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng masih gagal menjawab dengan jelas persoalan dikemukakan.

Pasukan Komunikasi Strategik BN dalam kenyataan berkata, Guen Eng sebaliknya memilih untuk melencong dan membuat kenyataan retorik.
"Bagi mengelakkan keraguan, kami ulangi persoalan secara lebih jelas melalui jawapan ya atau tidak.

"Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang telah menjual atau memperdagangkan tanah dan aset bernilai sekurang-kurangnya RM37 bilion sejak DAP mengambil alih kerajaan negeri pada 2008?

"Kami bersedia mengemukakan senarai urus niaga berkenaan untuk Guan Eng mengesahkan jika beliau bersedia mengesahkan atau mempertikaikan senarai itu," katanya.

Kenyataan itu turut mempersoalkan, adakah benar tidak banyak lagi tanah milik kerajaan negeri untuk dijual sebagaimana dinyatakan Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tahun lalu.

"Adakah benar kos bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) meningkat pada harganya dari RM27 bilion kepada RM46 bilion sejak setahun lalu sebagaimana dinyatakan YB Chow Kon Yeow?

"Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang akan membuat pinjaman dari bank bagi mengisi jurang perbezaan antara RM27 bilion dan RM46 bilion sebagaimana dinyatakan YB Chow melalui temuramahnya dengan The Edge, pada Julai tahun lalu," soal kenyataan itu.

Tambahnya lagi, adakah benar kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini memindahkan dana dari rizab kerajaan negeri sebanyak RM609 juta sebagai pinjaman kecemasan kepada syarikat milik kerajaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di mana PDC mencatatkan keuntungan yang menjunam sebanyak 80 peratus pada tahun sebelum ini dan tambahan RM30 juta kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)?

"Demi ketelusan dan akauntabiliti, soalan di atas adalah relevan kepada masa depan Pulau Pinang dan rakyatnya.

"Jika semua jawapan ya diberikan kepada soalan di atas maka ia menjurus kepada masa depan yang gelap buat Pulau Pinang dan penduduknya," katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.