BREAKING NEWS

Friday, 30 June 2017

Imigresen mula tangkap PATI malam ini

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan memulakan operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula malam ini, selepas tamat tempoh permohonan kad sementara atau “Enforcement Card” (E-Kad).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tangkapan itu tidak terhad kepada PATI, sebaliknya turut membabitkan majikan yang degil mendaftarkan pekerja mereka.
Katanya, PATI yang ditahan akan ditempatkan di depot tahanan sebelum diusir dari Malaysia dan nama mereka disenarai hitamkan.
“Bermula tengah malam ini, gerak gempur besar-besaran akan imigresen lakukan kerana tindakan itu kita sudah maklumkan lebih awal.
Ia dilakukan di seluruh negara, di mana ada PATI, di situlah kita akan tangkap. Apabila kita katakan PATI, ia termasuk majikan. Majikan boleh diambil tindakan kerana melindungi PATI.
“Majikan yang ditahan jangan salahkan imigresen khususnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana peluang sudah banyak diberi sejak 15 Februari lalu,” katanya pada sidang media di Jabatan Imigresen, hari ini.
Majikan yang melindungi PATI boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa denda minimum RM10,000 atau penjara.

Program E-kad yang dikeluarkan secara percuma itu bertujuan mendaftar dan membolehkan PATI mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan KDN.
Mengulas lanjut, Mustafar sekali lagi menyuarakan kekecewaan terhadap sikap majikan kerana program E-kad gagal mencapai sasaran ditetapkan, iaitu 400,000 hingga 600,000 PATI.
“Inilah budaya dalam negara kita, suka lakukan sesuatu perkara di saat akhir. Hari ini adalah hari terakhir E-kad dilangsungkan dan saya tegaskan ia tidak akan disambung.
“Dari 15 Februari tahun ini sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 155,680 PATI kita daftarkan untuk E-kad. Majikan yang mendaftar seramai 26,957 dan E-kad yang dikeluarkan sebanyak 140,746,” katanya.
Sehingga kini, bilangan pemohon E-kad terbesar adalah PATI dari Bangladesh, diikuti Indonesia, Myanmar dan Nepal.
 
Copyright © 2014 PenangKini.