BREAKING NEWS

Wednesday, 28 June 2017

Isu tamatkan kontraktor makanan Politeknik Seberang Perai selesai - Kamalanathan

KUALA LUMPUR – Empat kontraktor di Politeknik Seberang Perai telah ditamatkan perkhidmatan makanan serta merta kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, adalah tidak benar dakwaan penamatan kontrak itu hanya melibatkan kontraktor India sahaja
Beliau dalam kenyataan di sini menyifatkan dakwaan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sengaja cuba mencetuskan isu.
“Saya ingin menyentuh isu berkenaan yang disebarkan dengan baur perkauman oleh pihak tertentu dan menegaskan bahawa ia bukan isu kaum kerana sebanyak empat kontraktor makanan sebenarnya dipecat politeknik.
“Saya telah menghubungi pengarah institusi itu sebelum beliau mengklarifikasikan bahawa empat orang kontraktor iaitu tiga Melayu dan satu India telah ditamatkan kontrak.
“Ia berikutan keempat-empat kontraktor itu tidak mematuhi peraturan piawaian penyediaan makanan yang ditetapkan politeknik seperti dipersetujui dalam kontrak mereka,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau mengulas mengenai isu penamatan perkhidmatan kontraktor makanan India di politeknik itu yang telah menular dalam media sosial dengan berbaur rasis.
Kamalanathan menambah, tindakan segera telah diambil selepas isu yang viral dalam media sosial mendapat perhatian Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Jelasnya, beliau diarahkan Subramaniam untuk menyiasat segera perkara itu dan menanganinya secepat mungkin.
“MIC tidak akan bertoleransi dalam sebarang isu berbentuk diskriminasi sekiranya perkara itu benar, namun ia tidak seperti yang tular di media sosial.
“Tambahan pula, politeknik itu menyedari dan sentiasa bertanggungjawab ke atas kebajikan pelajar India dan pengarah berkenaan komited untuk menangani isu itu segera.
“MIC akan terus memantau secara dekat isu berkenaan dengan Kementerian Pendidikan dan pengarah berwajib supaya ia dapat diselesaikan segera,” tegasnya. – MalaysiaGazette
 
Copyright © 2014 PenangKini.