BREAKING NEWS

Tuesday, 6 June 2017

Jadikan Masjid Institusi Pembelajaran Sepanjang Hayat – Zahid Hamidi


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masjid perlu dijadikan institusi pembelajaran sepanjang hayat dan bukan sebagai tempat meraikan perbezaan pendapat. Beliau berkata walaupun terdapat perbezaan ideologi dan parti dalam kalangan jemaah masjid, ia perlu diatasi secara beradab.

 “Masjid mesti jadi tempat ibadah, tempat perpaduan untuk menimba ilmu, tempat mengimarahkan masjid, bukan sahaja untuk solat,” katanya ketika berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah Sungai Rokam, di sini malam ini. 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta untuk menaik taraf masjid tersebut, melibatkan peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan Persekutuan manakala selebihnya melalui kerajaan negeri. “(Kerja-kerja) menaik taraf antaranya melibatkan pembesaran masjid serta memasang pendingin hawa. 

Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan daripada sekarang,” katanya. Ahmad Zahid berkata masjid berkenaan bukan asing baginya kerana ketika belajar di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah di sini, pada 1966 hingga 1971, beliau sering menunaikan solat Jumaat di rumah ibadat itu. Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama kira-kira 1,000 jemaah yang dipimpin Imam dari Mekah Sheikh Dr Idris Al-Misrafi. 

Beliau yang tiba kira-kira 8.35 malam, turut diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim. Selepas selesai solat Tarawih, beliau turut beramah mesra dengan jemaah serta menikmati moreh.

Sumber : Menara.my
 
Copyright © 2014 PenangKini.