BREAKING NEWS

Friday, 30 June 2017

Kemudahan Tentera Beijing Di Laut China Selatan Hampir Siap

WASHINGTON: Tiga kemudahan tentera Beijing di beberapa terumbu karang yang dipertikaikan di Laut China Selatan hampir siap untuk menerima aset ketenteraan, termasuk pelancar peluru berpandu mudah alih, lapor badan pemikir Amerika Syarikat.

Menerusi analisa gambar satelit, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) berkata, pangkalan Terumbu Fiery Cross Beijing di Kepulauan Spratly sudah mempunyai 12 pelindung berbanding empat pada Februari lalu dengan bumbung bergerak yang boleh menempatkan pelancar peluru berpandu.

China turut memperluaskan teknologi komunikasi dan radar dengan kewujudan beberapa menara di pangkalan Fiery Cross, Subi dan Terumbu Mischief.

Kini, pembinaan baharu empat struktur bawah tanah yang sangat besar di setiap terumbu sedang dilaksanakan dan AMTI berkata, kemungkinan besar ia direka untuk menempatkan peluru dan barangan penting lain.

"Pembinaan infrastruktur ketenteraan dan untuk kegunaan lain di 'Big 3' hampir selesai manakala pembinaan kemudahan tentera laut dan udara, radar serta pertahanan yang dipantau AMTI sejak dua tahun lalu sebahagian besarnya siap," kata kumpulan itu.

"Beijing kini boleh meletakkan aset tentera termasuk pesawat tempur dan pelancar peluru berpandu bergerak di Kepulauan Spratly pada bila-bila masa."

AMTI yang juga sebahagian daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington berkata, tiga pangkalan udara itu dan yang keempat di Pulau Woody di Kepulauan Paracel akan membolehkan pesawat tentera China beroperasi hampir di seluruh Laut China Selatan. - AFP/BH Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.