16 JUN: Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab
atas kematian mangsa kes buli, T. Nhaveen.
Perdana
Menteri turut melahirkan rasa sedih ketika menerima berita kematian remaja yang
berusia 18 tahun itu.
“Saya
mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Doa dan ingatan kami mengiringi
ibu dan keluarganya.
“Tindakan
tegas akan diambil terhadap pembuli remaja itu,” katanya menerusi laman
Facebook beliau, hari ini.
Sementara
itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes kini akan
disiasat sebagai kes bunuh.
Sebelum
ini polis menjalankan siasatan ke atas kelima-lima suspek berusia antara 16 dan
20 tahun yang dikaitkan dalam kes itu mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan
kerana merusuh dengan menggunakan senjata.
Dalam
kejadian Sabtu lepas, Nhaveen, 18 cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki
di Jalan Kaki Bukit, George Town sehingga mati otak selain mengalami kecederaan
di bahagian dubur, meninggal dunia petang semalam selepas lima hari berada di
Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.
Seorang
lagi rakannya, T Previin, 19, dilapor turut dipukul oleh kumpulan berkenaan
menggunakan topi keledar namun sempat meloloskan diri bagi mendapatkan bantuan.
Susulan
kejadian itu, tiga remaja berusia 18 hingga 19 tahun yang tamat reman hari ini
akan direman semula manakala dua pelajar tingkatan empat dan lima juga akan
dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan kes
berkenaan.