BREAKING NEWS

Saturday, 10 June 2017

Krisis Qatar: 10 Perkara Penting Yang Perlu Anda Tahu

Pada 5 Jun 2017 yang lepas, tujuh buah negara telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Mereka ialah Bahrain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Mesir, Maldives dan Libya. Berikut adalah 10 perkara penting yang perlu anda tahu bagi memahami latar belakang di sebalik kejadian ini. 

1. Negara Qatar Qatar ialah sebuah negara kecil di Semenanjung Arab, berbentuk semenanjung bersempadan darat hanya dengan Arab Saudi. Dengan keluasan sekitar 11,580km persegi (secara perbandingan kecil sedikit berbanding Terengganu) dan populasi 2.6 juta orang dengan hanya sekitar 500,000 warga negara. Qatar diperintah oleh seorang emir, Tamim bin Hamad al-Thani, yang menggantikan bapanya Hamad bin Khalifa al-Thani pada 2013. Bersama Arab Saudi, keluarga diraja Qatar berkongsi keturunan sama, dan menerima aliran Islam yang sama.

 2. Dasar luar Sejak hujung 1990-an, selepas Emir Hamad mengambil tampuk pemerintahan, Qatar mengamalkan dasar luar yang bebas daripada Arab Saudi, walaupun menjadi negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang ditubuhkan dan diketuai Arab Saudi sebagai pakatan serantau untuk mengimbangi pengaruh Iran. Qatar membina nama melalui usaha perantara mendamaikan pihak-pihak bertelagah, termasuk di Palestin, Yaman, Lubnan dan Sudan. Stesen televisyen al-Jazeera ditubuhkan semasa era Hamad, menyampaikan berita serantau dalam bahasa Arab dan Inggeris menurut perspektif Qatar. Qatar juga menyokong Ikhwanul Muslimin terutama di Mesir, dan ini menjadi sebab Qatar bekerjasama dengan Turki menyokong perubahan yang berlaku semasa kebangkitan Arab tujuh tahun lalu.

 3. Kuasa gas dunia Qatar ialah pengeluar gas utama dunia, berada dalam kalangan lima negara pengeluar dan pemilik rizab gas asli terbesar dunia. Pasaran utama gas Qatar ialah Jepun dan negara-negara Asia dan juga Emiriyah Arab Bersatu (UAE), rakan dalam Majlis Kerjasama Teluk yang bersaing dengannya di rantau Asia Barat. Qatar juga ialah pengeksport gas asli cecair (LNG) terbesar dunia, bersaing dengan Rusia dan Australia. Qatar berkongsi sebuah medan gas dengan Iran di Teluk Parsi, yang dinamakan Pars Selatan oleh Iran dan Medan Utara oleh Qatar. Sumber gas ini menjadikan Qatar kaya dengan wang tunai, dan mampu menggerakkan dasar luar yang pragmatik.

 4. Kuasa media dunia Arab Al-Jazeera telah beberapa kali mencetuskan kontroversi dengan jiran-jiran termasuk Arab Saudi melalui laporannya yang mendedahkan kelemahan rejim-rejim memerintah tersebut. Berita yang membimbangkan rejim-rejim Arab ialah saluran berbahasa Arab yang boleh mempengaruhi rakyat tempatan. Saluran berbahasa Inggeris al-Jazeera lebih kepada untuk penonton global, yang juga berguna untuk pembinaan imejnya di mata dunia. Al-Jazeera menjadi media utama kebangkitan Arab melalui peranannya sebagai media yang paling dekat dengan kebangkitan di Mesir yang menjatuhkan Hosni Mubarak. Tidak ada media lain yang mendapat akses seperti al-Jazeera pada masa itu. Hal ini mengundang lagi kebimbangan dalam kalangan pemerintah Arab.

 5. Ikhwanul Muslimin dan Hamas Qatar menyokong Ikhwanul Muslimin dan Hamas di Gaza melalui bantuan berbilion dolar. Ibu negara Qatar juga menjadi kediaman ulama Yusuf al-Qardawi. Ekoran tekanan ke atas rejim Bashar al-Assad, Qatar mengajak kepimpinan Hamas yang berpangkalan di Damsyik pimpinan Khaled Mishaal berpindah ke Doha, ibu negara Qatar. Qatar menjadi penaung baru kepada Hamas, menggantikan Syria dan Iran. Qatar mula banyak memberi bantuan kewangan kepada Hamas sejak itu. Pada 2012, Hamad melawat Gaza dan menjanjikan bantuan AS$400 juta untuk pembangunan Gaza. Bagaimanapun, Hamas di Gaza kurang setuju dengan tindakan berpindah ke Doha, dan sejak pelantikan Ismail Haniyeh menggantikan Khaled Mishaal, Hamas merapatkan semula hubungan dengan Iran. 

6. Kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat Qatar ialah lokasi pangkalan tentera Amerika Syarikat, al-Udeid. Pangkalan di Qatar ialah satu daripada dua pangkalan tentera terbesar AS di Asia Barat. Sebuah lagi pangkalan ialah Incirlik di Turki. Pangkalan tentera AS di Qatar berperanan sebagai lokasi untuk operasi ketenteraan AS di rantau Asia Barat dan Asia Tengah. Kedudukan di Teluk Parsi ini menyediakan lokasi strategik untuk AS menempatkan pangkalan tentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan di Teluk Parsi seperti melibatkan Iran, dan juga di seluruh Asia Barat.

 7. Kerjasama penyelidikan dan pendidikan dengan AS Qatar berjaya menarik universiti terkemuka AS, Georgetown menubuhkan sebuah kampus di Doha. Universiti berprestij ini melonjakkan nama Qatar di mata dunia pendidikan tinggi.  Cawangan universiti AS lain termasuk Texas A&M dan Carnegie Mellon. Qatar juga menjadi lokasi pusat pemikir Brookings Institution, dan pernah menjalankan kerjasama dengan Rand Corporation. Melalui hubungan dengan Brookings, sebuah badan pemikir berpengaruh yang mencorakkan dasar luar AS, Qatar mempunyai talian untuk membina pengaruh di Washington.

 8. Apa punca tindakan Arab Saudi dan UAE?   Punca tindakan Arab Saudi, UAE, Mesir dan negara-negara lain boleh dikaitkan dengan lawatan Presiden AS Donald Trump tiga minggu lalu. Trump mahu membina satu pakatan “Nato Arab” untuk menentang Iran dan kumpulan-kumpulan yang dilabel pengganas. Sikap Trump yang selari dengan Arab Saudi, UAE dan Mesir mendorong negara-negara Arab ini berani bertindak terhadap Qatar, yang mendanai Ikhwanul Muslimin dan Hamas serta menjaga hubungan dengan Iran. Pada masa yang sama, negara-negara Arab Saudi dan UAE juga mahu mengekang peningkatan pengaruh Qatar yang ekonominya terus berkembang melalui pasaran gas.

 9. Siapa bersama Qatar? Setakat ini, Turki, Iran dan Jerman telah menunjukkan sikap bersama Qatar dan mengkritik tindakan diketuai Arab Saudi. Iran telah menghantar bekalan makanan pertama ke Qatar, dan Turki turut akan melakukan tindakan sama. Turki pada mulanya hanya menggesa dialog dijalankan untuk mencari penyelesaian krisis, tetapi akhirnya bertindak lebih tegas, termasuk meluluskan penghantaran tentera tambahan ke pangkalannya di Qatar. Pangkalan tentera itu ditubuhkan hasil persetujuan dicapai pada tahun 2015. Kerjasama ketenteraan yang rapat ini bakal teruji sekiranya krisis ini semakin buruk dan membawa kepada konflik bersenjata.

 10. Bagaimana ini akan memberi kesan kepada dunia Islam? Sekiranya perang tercetus, dunia Arab akan berdepan ketidakstabilan yang teruk dan mungkin berpanjangan, kerana penglibatan negara-negara utama rantau ini. Arab Saudi ialah negara Arab dan Islam berpengaruh, dan mampu menyampaikan pandangannya ke seluruh dunia Islam sehingga mampu mencetuskan ketegangan dengan pihak lain. Hal yang sama juga melibatkan Qatar dan sekutunya Turki, yang disokong aliran gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang mempunyai penyokong yang ramai di negara-negara Islam termasuk Malaysia. Mesir pula, selain menjadi lokasi al-Azhar, juga mempunyai tentera terbesar dunia Arab. Kesan buruk akan terhasil sekiranya perang berlaku dan tentera Mesir terlibat. Lokasi Saudi sebagai pengeluar minyak, Qatar di Teluk Parsi dan pengeluar gas, Iran yang berdekatan Qatar, semuanya akan berkait dan memberi kesan, yang sedia dijangka dan yang tidak dijangka.
SUMBER : MENARA.MY
 
Copyright © 2014 PenangKini.