BREAKING NEWS

Saturday, 3 June 2017

Lagi kereta dipandu lawan arus di Pulau Pinang




BUTTERWORTH 2 Jun - Sebuah lagi kereta dilaporkan dipandu secara melawan arus di negeri ini malam semalam dan rakaman video berdurasi selama 40 saat tersebut menjadi tular di media sosial.

Menurut sebuah laman berita di Facebook, kejadian itu didakwa berlaku di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) menuju arah Butterworth di sini membabitkan kereta jenis sedan berwarna kelabu yang tidak diketahui jenamanya dan dipercayai dipandu seorang wanita.

"Lagi kejadian melawan arus di Lebuhraya BKE yang dirakamkan kira-kira pukul 10.30 malam semalam. Suspek pemandu wanita berumur 30-an dirakamkan melawan arus dari Tol Sungai Nyior ke Seberang Jaya.


"Syukurlah tidak berlaku tragedi macam tempoh hari (wanita memandu lawan arus hingga menyebabkan seorang lelaki maut). Apa punca dia bertindak sedemikian kita pun tidak pasti," katanya menerusi status laman sosial itu.

Video dipercayai dirakam seorang penunggang motosikal di laluan arah Kulim itu menunjukkan kereta tersebut dipandu di lorong paling kanan lebuh raya namun tidak menyebabkan kemalangan.

Bagaimanapun, berdasarkan rakaman tersebut, tindakan berbahaya wanita itu menyebabkan beberapa pemandu lain di jalan raya cemas dengan membunyikan hon.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Pada 14 Mac lalu, seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga tiga bulan meninggal dunia akibat dirempuh kereta yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan dari Seberang Jaya menghala Kepala Batas dekat sini. - UTUSAN ONLINE




 
Copyright © 2014 PenangKini.