BREAKING NEWS

Wednesday, 7 June 2017

Majikan tidak daftar E-Kad berdepan tindakan undang-undang


Majikan perlu segera mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mendapatkan kad sementara “Enforcement Card” (E-Kad) atau berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memberi amaran itu kepada majikan yang masih gagal mendaftarkan pekerja asing mereka memandangkan tempoh untuk berbuat demikian akan tamat 30 Jun ini.

Menurutnya, hanya 97,468 E-Kad dikeluarkan dalam tempoh 15 Februari hingga 31 Mei lalu dengan hanya 17,182 majikan yang tampil membuat permohonan dengan jabatan itu.
“Ini jauh daripada sasaran. Kami dimaklumkan ada 400,000 hingga 500,000 PATI belum ada dokumen lengkap atau tinggal lebih masa, langgar syarat bekerja dan lain-lain. Mereka ini perlu datang ke pejabat Imigresen.

“Saya memberi amaran kerana majikan diberi masa secukupnya dan tempoh permohonan tidak akan dipanjangkan,” katanya kepada Bernama mengenai pengeluaran E-Kad bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah.

Mustafar berkata bermula 1 Julai ini, pihaknya akan menggempur PATI yang tidak mempunyai E-Kad serta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mendaftarkan mereka.
Menurut beliau, satu pasukan penguatkuasaan diwujudkan jabatan itu bagi melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan terhadap majikan.

“Mana-mana syarikat yang menggaji pekerja asing kita buat semakan dan siasatan. Trend sekarang majikan suka gajikan PATI kerana mereka dapat bayar gaji lebih murah berbanding orang tempatan,” katanya.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.
Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Mustafar berkata 24,068 PATI diusir dalam operasi yang dijalankan sejak awal tahun ini hingga 1 Jun lepas.

Beliau berkata 566 majikan dan 19,968 PATI ditahan dalam 6,478 operasi yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sama.


 
Copyright © 2014 PenangKini.