BREAKING NEWS

Saturday, 3 June 2017

Mengapa Perlu Takut jika tidak Bersalah ? - Kamarul Yusoff


Saya dimaklumkan mengenai kewujudan satu petisyen yang digerakkan oleh CitizenGO yang beribu pejabat di Madrid dan yang mempunyai ahli di 15 kota di tiga benua. Mengikut kandungan petisyen bertajuk “Stop Legal Harassment of Christian Speaker of Malaysian State Assembly - Hannah Yeoh” ini, Hannah Yeoh sedang diganggu secara perundangan (is being legally harassed) oleh saya.
Kata petisyen ini, buku Hannah Yeoh hanya melaporkan pengalaman-pengalaman beliau dalam konteks kepercayaan beliau (simply reports on her experiences in the context of her faith) dan ini didakwa bukan satu kesalahan jenayah di Malaysia (In Malaysia, that is certainly not a criminal offence), apatah lagi beliau didakwa tidak mempromosikan buku ini kepada orang-orang Islam (Moreover, she did not promote the book to Muslims).
Tambah petisyen ini lagi, sekarang terdapat kemungkinan satu mahkamah Malaysia akan melayan laporan polis saya ini (now it seems as though the same type of religiously-motivated illiberality (as in the case of Jakarta's former governor, Ahok) may be entertained by a Malaysian court).
Oleh itu, petisyen ini merayu kepada KDYMM Sultan Selangor, YAB Menteri Besar Selangor, Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat supaya campur tangan bagi pihak Hannah Yeoh (to intervene in Ms Yeoh's defence) demi memastikan agar laporan polis saya tidak dilayan oleh mahkamah-mahkamah Malaysia (this complaint not be entertained by the Malaysian courts).
Sehingga sekarang, petisyen yang dilancarkan pada 27 Mei ini telah mencatat lebih daripada 22,000 tandatangan.


Pemerhatian saya ke atas petisyen ini adalah:


Pertama, petisyen ini sangat terdedah kepada manipulasi mana-mana pihak kerana terlalu mudah untuk sesiapa sahaja di dalam dunia ini menandatangani petisyen ini. Maklumat yang perlu diberikan hanyalah nama pertama, nama akhir, alamat email, nama negara dan kod zip sahaja.
Kedua, petisyen yang digerakkan oleh CitizenGO yang beribu pejabat di Madrid ini merupakan satu bentuk campur tangan dari pihak luar ke atas urusan dalaman Malaysia dan, jika petisyen ini bermula dari rakyat Malaysia, ia merupakan satu bentuk jemputan kepada pihak luar supaya campur tangan ke atas urusan dalaman Malaysia sekali gus merupakan satu usaha memburuk-burukkan nama Malaysia. Kenapa perlu dibuat rayuan, bukan setakat kepada KDYMM Sultan Selangor dan YAB Menteri Besar Selangor, tetapi juga kepada pihak-pihak luar, iaitu Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, supaya campur tangan bagi pihak Hannah Yeoh (to intervene in Ms Yeoh's defence) demi memastikan agar laporan polis saya tidak dilayan oleh mahkamah-mahkamah Malaysia (this complaint not be entertained by the Malaysian courts)? Oleh itu, sangat wajar bagi Hannah Yeoh sendiri menjelaskan sama ada beliau atau mana-mana penyokong beliau, sama ada di dalam atau di luar DAP, turut terlibat di dalam petisyen ini.
Ketiga, kandungan petisyen ini yang mendakwa Hannah Yeoh sedang diganggu secara perundangan (is being legally harassed) oleh saya adalah tidak betul. Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh bukanlah satu bentuk gangguan tetapi laporan biasa yang melibatkan beberapa persoalan perundangan yang akan ditentukan secara objektif dan profesional oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia dan pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia. Sebaliknya, Hannah Yeoh-lah yang mengganggu saya secara perundangan dengan membuat tuduhan kononnya komentar Facebook saya pada 10 Mei mengandungi “satu tuduhan yang tidak benar” (iaitu bahawa DAP giat mencampurkan urusan politik dengan urusan agama, terutamanya agama Kristian) dan bahawa komentar Facebook saya ini kononnya menimbulkan risiko yang tinggi terhadap keselamatan diri beliau dan ahli-ahli DAP. Sedangkan hakikat sebenarnya komentar Facebook saya diasaskan kepada petikan-petikan tertentu daripada buku beliau sendiri yang tidak mampu beliau nafikan dan ia tidak pernah menimbulkan apa-apa risiko terhadap keselamatan diri beliau dan ahli-ahli DAP.
Keempat, kandungan petisyen ini yang mendakwa sekarang terdapat kemungkinan satu mahkamah Malaysia akan melayan laporan polis saya ini (now it seems as though the same type of religiously-motivated illiberality (as in the case of Jakarta's former governor, Ahok) may be entertained by a Malaysian court) adalah satu dakwaan yang sangat keterlaluan dan menggambarkan ketakutan berlebihan pihak yang memulakan inisiatif membuat petisyen ini terhadap kemungkinan Hannah Yeoh akan dihadapkan ke mahkamah. Bagaimana mungkin kesimpulan bahawa Hannah Yeoh mungkin akan dihadapkan ke mahkamah boleh dibuat tatkala siasatan oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia belum selesai, dan tatkala Hannah Yeoh sendiri memaklumkan beliau belum dipanggil untuk memberikan keterangan? Soalan saya mudah sahaja: Jika anda tidak melakukan kesalahan, mengapa anda perlu merasa takut?

 
Copyright © 2014 PenangKini.