BREAKING NEWS

Friday, 9 June 2017

Mufti Pulau Pinang : Wakil Parti Tidak Dibenarkan Berceramah Politik Di Masjid Seluruh Negeri


Dek kerana berpolitik tidak kira masa dan tempat, seorang ahli politik bukan Islam baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Islam kerana mencemarkan mimbar masjid sewaktu bulan Ramadhan yang mulia dan rahmat.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dari PKR telah menarik perhatian dan menjadi bualan hangat apabila hadir pada majlis sumbangan sempena bulan Ramadhan di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang, Shah Alam.

Berdasarkan kepada gambar yang viral di media sosial, Sivarasa dilihat sedang berucap di hadapan mimbar masjid berkenaan. Selepas kejadian itu, tiga laporan polis dibuat Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS), Kesatuan Melayu Nasional dan wakil penduduk di Balai Polis Sungai Buloh.

Ini kerana mereka mendakwa Naib Presiden PKR itu mengingkari arahan Sultan Selangor yang melarang kesucian masjid di negeri ini terpelihara daripada unsur-unsur politik.

Susulan itu juga, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka dan dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen daripada PKR itu.

Memang wajar tindakan R Sivarasa dikritik kerana penggunaan masjid sebagai tempat untuk berkempen atau berpolitik dibimbangi boleh memecah-belahkan umat Islam. Itulah yang dinyatakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Masjid adalah tempat untuk menyatupadukan umat Islam dan bukan untuk berpolitik kerana tindakan itu juga akan mencemarkan kesucian rumah ibadah berkenaan.

“Bila ada pertemuan dengan jawatan kuasa kariah masjid, saya akan nasihatkan mereka supaya tiada pihak yang datang ke masjid untuk memberi ceramah politik atau kempen kerana tidak mahu ada ia (masjid) di salah guna,” kata Wan Salim.

- Utara News

 
Copyright © 2014 PenangKini.