BREAKING NEWS

Thursday, 1 June 2017

Pegawai polis ditemui mati


SEORANG pegawai polis ditemui mati dengan satu kesan tembakan di bahagian dahi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Mangsa berusia 29 tahun dan berpangkat Inspektor ditemui pada 9 pagi di atas kerusi di pejabatnya oleh anggota polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial bertugas dari 8 malam semalam hingga 8 pagi tadi dan membuat rondaan di sekitar Pasir Puteh.

"Mangsa sepatutnya hadir mesyuarat peringkat daerah 9 pagi tadi namun tidak hadir sebelum seorang anggota mencari dan menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas kerusi serta kesan darah di bawah kerusi.

"Antara jam 4 hingga 5 pagi, jiran mangsa (rakan setugas) ada mendengar bunyi tembakan, namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Pada 9 pagi, kita menemui jasad mangsa sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa berasal dari Selangor dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian termasuk sama ada mangsa mengalami tekanan atau sebaliknya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.